Indonesia sudah menjadi salah satu tempat pelancongan yang digemari oleh rakyat Malaysia kerana penawaran pengalaman percutian yang mewah dengan harga mampu milik. Antara tempat menarik seperti Bali, Bandung dan juga Yogyakarta.
Malah, statistik menunjukkan Malaysia secara konsisten menjadi antara penyumbang terbesar kepada jumlah pelancong asing ke Indonesia setiap tahun.
Memandangkan warganegara Malaysia tidak perlukan visa untuk masuk ke Indonesia untuk tujuan perlancongan, pasti ramai menyangka boleh masuk dengan senang hati tanpa sebarang penyediaan bukan? Namun realitinya, yang sudah berpengalaman ke sana pasti sedia maklum dengan perkara-perkara lain yang mungkin terlepas pandang buat yang baru pertama kali ke sana.
Menerusi platform Threads, seorang pengguna bernama @tira__hassan telah berkongsi tips menarik dalam menjamin kelancaran percutian anda sewaktu menjejak kaki Indonesia.
Dia berkongsi terdapat lima perkara yang perlu diselesaikan ataupun disediakan dalam memudahkan urusan imigresen di lapangan terbang Indonesia nanti.
Antara benda penting untuk setel:-
1. Isi Bea Cukai (e-CD)
Menurut wanita itu, Bea Cukai ini boleh dikira sebagai borang kastam. Anda boleh sahaja melakukan pengisian secara dalam talian dengan lawati ke laman rasminya dan selepas selesai akan diberikan kod QR.
Data perjalanan ini penting kerana perlu ditunjukkan kepada pihak kastam sebaik menempuhi pemeriksaan keselamatan. Anda dinasihatkan untuk mengisi maklumat Bea Cukai sehari atau dua hari sebelum penerbangan.
Berdasarkan perkongsian pengguna lain, borang Bea Cukai ini boleh diisi oleh ketua kumpulan atau wakil keluarga di dalam satu-satu borang kerana terdapat butang tambah untuk penambahan maklumat ahli berkaitan.
2. Imigresen/ Passport & Visa Exemption

Walaupun rakyat Malaysia tidak perlu memohon visa ke negara ini, anda sebenarnya masih perlu mengisi borang ketibaan. Selain itu, boleh sediakan bukti penerbangan balik serta tempahan penginapan hotel jadi boleh jadi bukti jika ditanya oleh pegawai sana.
Kini anda boleh membuat deklrasi ketibaan menerusi aplikasi E-CD dengan mengimbas kod yang disediakan di bahagian terminal masing-masing.
3. SATU SEHAT App (Health Declaration)

Seperti MySejahtera tetapi ini versi Indonesia. Di sini, anda perlu siap-siap mendaftar sebelum tiba bagi melancarkan urusan kemasukan di negara itu.
Aplikasi ini sangat penting kerana bakal menyimpan segala maklumat kesihatan peribadai apatah lagi jika mempunyai sejarah penyakit yang serius atau berjangkit dan akan diperiksa oleh pihak berkuasa.
4. Duit rupiah & ketersediaan internet

Nak memudahkan sebarang urusan pembayaran di sana, ada baiknya anda menukar wang Malaysia ke Rupiah di sini dan boleh sediakan wang lebih untuk membeli-belah atau belanja makan dengan tenang.
Ya mungkin ada yang kata boleh gunakan Wise atau TnG dan seumpamanya, namun siapa boleh jangka jika secara tiba-tiba server down atau internet bermasalah? Jadi, lebih baik sediakan payung sebelum hujan.
Untuk sambungan internet, anda boleh pertimbang untuk membeli roaming pass mengikut tawaran telco masing-masing atau mungkin membeli kad sim tempatan jika mahu duduk lebih lama atau menggunakan data yang banyak sewaktu di sana.
5. Pasang aplikasi Grab atau Gojek

Di sana, mungkin ada yang malas untuk menyewa motosikal atau kereta, bolehlah pertimbang menggunakan aplikasi Grab atau Gojek untuk memudahkan seseorang bergerak ke sesuatu lokasi.
Dalam pada itu, anda juga boleh membandingkan harga perjalanan terlebih dahulu di antara Grab dan Gojek. Berdasarkan pengalaman, syarikat Gojek menawarkan caj yang lebih murah dan mempunyai yang menyeluruh lebih-lebih lagi di kawasan tumpuan pelancong.
Mungkin sebahagian anda mungkin berpengalaman ke Indonesia dan tidak pernah mengisi kesemua borang ini dan tidak ditahan oleh pihak kastam. Ini mungkin kerana terdapat sejumlah besar terminal dan sebahagiannya mungkin sedikit longgar atau pegawai terlepas pandang.
Namun, sebahagian yang pernah ditahan, inilah perkara yang perlu disiapkan terutamanya Bea Cukai (e-CD),
Jika anda sudah melakukan kesemua ini, bolehlah bercuti dengan tenang bersama tersayang kelak.

Nak lagi banyak tip halal ‘travel’ bajet? Komen saja destinasi impian anda!
REV Media Group melalui My Resipi, Sirap Limau dan VOCKET memperkenalkan Halal Travel, kempen yang direka khas untuk membantu pelancong Muslim ke luar negara dengan tenang, selamat dan penuh yakin.
Ia adalah inisiatif menyeluruh yang membawakan panduan makanan halal, waktu solat & arah kiblat, tip perjalanan & keselamatan serta aktiviti halal-friendly yang menarik.
Layari www.myresipi.com/halaltravelmy untuk maklumat lanjut.