Seorang saintis dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengharumkan nama negara dalam bidang sains marin dan akuakultur selepas mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila namanya diabadikan pada spesies baharu parasit ikan yang ditemui penyelidik.
Spesies parasit ikan itu dinamakan Thelohanellus Borkhanuddini sebagai penghormatan kepada Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Prof Madya Dr Hafiz Borkhanuddin yang juga bekas Ketua Program Biologi Marin UMT, petik Berita Harian.

Penemuan itu diterbitkan oleh jurnal antarabangsa Aquaculture Reports.
Menurut beliau, kajian itu diketuai alumni UMT iaitu Nadhirah Syafiqah Suhaimi yang kini calon doktor falsafah (PhD) di Hungary.


Spesies parasit ikan baharu itu turut mendapat liputan daripada Natioinal Geographic Hungary.
“Terdapat detik-detik dalam dunia akademik yang amat menyentuh perasaan secara tenang. Inilah salah satu daripadanya.
“Saya tidak melihat pencapaian ini sebagai satu penghormatan peribadi semata-mata, sebaliknya sebagai cerminan kepada kolaborasi dan kecekalan yang berterusan.
“Dalam bidang taksonomi, setiap nama akan kekal abadi. Nama-nama tersebut menjadi sebahagian daripada rekod saintifik — dan kadangkala, jika anda bertuah, perjalanan hidup anda juga akan turut terpahat dalam rekod tersebut.
“Sains berkembang maju menerusi bimbingan, perkongsian, dan sifat ingin tahu bersama — jarang sekali ia membuahkan hasil melalui usaha individu secara sendirian,” kata beliau di LinkedIn.