‘Nampak macam hal kecil tetapi besar di mata pelanggan’, itulah luahan orang ramai selepas melihat perkongsian seorang rider yang mendedahkan rutinya yang akan membasuh beg penghantaran untuk simpan makanan dan minuman pelanggan pada setiap minggu.
Menerusi perkongsian di platform Threads, individu bernama Shahrul Azlan menyoal sama ada rider di luar sana jika mempunyai tabiat yang sama sepertinya.
“Rider mana ada tabiat mcm saya ni? Suka basuh beg penghantaran seminggu sekali, sebab nak bersih hantar makanan kat customer,” tulisnya.
Sebagai bukti kukuh, dia berkongsi beberapa keping gambar memperlihatkan proses pembersihan secara menyeluruh yang dilakukan dan juga cara pengeringan yang unik iaitu menggantung pada besi di bahagian bumbung.

Menariknya, ternyata rupa beg penghantarannya jelas sangat bersih dan tampak seperti baru.
Rentetan daripada itu, netizen langsung menghujani ruangan komen dengan memberi pujian dan mendoakan agar rider ini akan diberi kemudahan di dalam kehidupannya kerana telah menjaga kebersihan untuk memastikan barangan pelanggan terlindung dari sebarang kotoran dan seumpamanya.
“Kita perlukan lebih ramai rider macam awak. Ini baru profesional. Bila awak bagi servis macam ni dekat pelanggan, orang akan perasan usaha awak.”
“Apabila melihat penghantar yang bersih, kita pun rasa selamat untuk mengambil makanan daripada mereka.”
“Customer mungkin lupa siapa rider yang hantar. Tapi mereka takkan lupa layanan yang baik. Basuh beg penghantaran setiap minggu nampak perkara kecil.
Tapi sebenarnya itu tanda amanah besar makanan orang, kita jaga macam makanan keluarga sendiri. Hormat, bro.”
Dalam pada itu, rupanya dia tidak keseorangan kerana terdapat sebahagian rider lain yang turut mendedahkan mereka turut berbuat sedemikian kerana percaya dengan jaga kebersihan bukan sahaja menjadi tanggungjawab malahan mendapatkan keberkatan dalam mencari rezeki yang halal.
Bahkan, ada yang mengatakan mereka akan membersihkan beg penghantaran itu jika berlaku sebarang kotoran dari tumpahan makanan atau minuman.
Satu sebab utama yang membuatkan sebahagian rider rajin melakukan pembersihan kerana mahu mengelakkan dihurungi semut di dalam beg penghantaran.
Tidak kurang juga, ada yang berterima kasih dengan pemilik hantaran asal kerana berkongsi cara mengeringkan beg penghantaran tersebut kerana selama ini tidak pernah terfikir untuk berbuat sedemikian.