Siapa je yang tak tergiur bila nampak iklan Peraduan Gaji Seumur Hidup Nestlé?

Beli produk kegemaran macam KitKat atau Milo, imbas kod QR, dan bayangkan setiap bulan ada wang masuk RM3,500 ke dalam akaun bank. Memang automatik rasa nak borong satu troli, kan?

Namun, baru-baru ini tular di media sosial terutamanya di Threads apabila ramai yang mula menyedari realiti sebenar di sebalik impian “pencen awal” ini.

“Kite Ni Pemalu Haha” — Orang Ramai Mula ‘Goyang’

Nampak Macam Mudah Beli & Menang, Rupanya Ini Realiti Nak Rebut RM3,500 Seumur Hidup Buat Netizen 'Goyang'

Segalanya bermula apabila beberapa warganet mula membaca syarat-syarat penuh peraduan tersebut dengan lebih teliti. Rupa-rupanya, proses untuk menentukan siapa yang layak membawa pulang ganjaran RM3,500 seumur hidup itu bukannya sekadar cabutan bertuah biasa.

Seorang pengguna Threads, `@shuhadahdaud` berseloroh apabila mengetahui syarat akhir peraduan tersebut:

“Alaa dah bhenti berharap la kite ni bukan main berangan dapat gaji seumur hidup sekali kena masuk TV pulak btnding lagi.. kite ni pemalu haha”

Reaksi lucu tetapi relatable ini mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya baru sedar bahawa peluang emas ini memerlukan keberanian berhadapan dengan kamera dan penonton di seluruh negara!

Tak Semudah Beli & Menang: Ada Cabaran Game Show!

Menyokong perkara itu, pengguna lain `@paanzi94` turut mengingatkan bahawa perjalanan ke peringkat akhir memerlukan komitmen yang bukan kalang-kalang:

“Tak semudah tu. Kena masuk tv brp minggu or hari. Kena bertanding bru dpt RM3,500 tu.. ada finalist brp org. Bkn join terus dpt.. tu utk hadiah utama dia”

Untuk pengetahuan anda, calon-calon yang terpilih ke peringkat akhir sebenarnya perlu menyertai program cabaran televisyen (game show) khas yang dianjurkan oleh penganjur.

Di situ, para finalis akan diuji dengan pelbagai tugasan, cabaran fizikal, mahupun minda sebelum pemenang utama “Gaji Seumur Hidup” benar-benar dimahkotakan.

Boleh tonton sendiri video finalis pada tahun 2024 di bawah:-

Antara Berangan Nak ‘Pencen’ & Gemuruh Depan Kamera

Bagi rakyat Malaysia yang gemar berangan kehidupan santai tanpa risaukan komitmen bulanan, syarat ini bagaikan ‘plot twist’ yang mengejutkan.

Yelah, bayangkan dari seorang introvert yang cuma suka layan minuman coklat di rumah, tiba-tiba kena bertanding secara ‘live’ di kaca TV!

Walaupun bunyinya mencabar dan memerlukan ketahanan mental serta sifat ‘muka tebal’, ganjaran yang ditawarkan memang sangat berbaloi.

Yalah, sekurang-kurangnya semua finalis yang berjaya sampai ke pentas akhir tetap dijamin membawa pulang hadiah wang tunai yang lumayan.

Jadi, adakah anda cukup berani untuk masuk TV demi RM3,500 sebulan seumur hidup, atau sekadar mahu jadi penonton di rumah sahaja?