Nasi Kerabu merupakan makanan terkenal rakyat Pantai Timur Malaysia terutamanya rakyat negeri Kelantan. Warna biru nasinya menambah rasa berehi untuk menikmati sajian hebat ini.
Kali ini kami segho nok make nasi kerabu pulop. Tapi kami tidaklah pula ke Kelantan untuk menikmati sajian ini. Kami hanya ke Kajang sahaja.
Apa yang menariknya tentang nasi kerabu ini adalah satu daripada lauknya yang sangat power. Nasi Kerabu Ketam.
Ya, KETAM.
Kami masih belum pernah berjumpa dengan nasi kerabu yang menggunakan lauk ketam. Ini pengalaman kali pertama kami.
BACA: Vocket Makan… Ayam Kampung Restoran Pak Abu Kerinchi
Berbantukan maklumat daripada ramai orang dan waze (akan dikongsikan pada akhir post), kami menuju ke kawasan Sungai Kampung Balak, Kajang. Kami bayangkan kedai itu di kawasan rumah kedai. Rupanya ia berada di dalam taman perumahan. Memang sesat sampaikan waze menunjukkan halaman rumah orang. Tapi, kami cari juga sampai dapat.
Setelah habis mengerah informasi, akhirnya kami tiba ke gerai ini. Nasi Kerabu Cholleey nama diberi. Maaf, kami gagal mendapatkan sebab kenapa diberi nama Cholleey atas alasan awal-awal lagi terkesima dengan ketam. Tagline kedai ini, “Nasi Kerabu Ketam No. 1 Di Malaysia”. Tagline ini makin meyakinkan kami untuk menikmati sajian nasi kerabu di kedai ini.
Gerai makan ini beroperasi di hadapan sebuah rumah. Susunannya sangat simple kerana keluasannya yang agak sempit. Anda tak perlu menunggu lama kerana lauk semua sudah tersedia. Hanya perlu order apa yang anda inginkan sahaja.
Antara menu wajib nasi kerabu adalah nasi kerabu ulam, telur masin, solok lada, budu, sambal kelapa dan keropok. Lauk yang dijual di kedai ini ialah Ayam Goreng Madu 3, Daging Madu 3, dan Ketam Tumis Mak Mandir.
Kami order dua jenis sajian, nasi kerabu ketam dan nasi kerabu daging. Ada 2 jenis saiz ketam, besar dan kecil. Harga setiap sajian boleh lihat seperti di dalam gambar.
Kami ambil ketam yang bersaiz yang besar. Tiada pinggan, hanya makan di atas bungkusan kertas beralaskan pinggan rotan. Saiz ketam hampir menenggelamkan keseluruhan lauk nasi kerabu tersebut.
Adab menikmati nasi kerabu ini adalah dengan menggaulkan semua lauk yang ada hingga semua bercampur, barulah boleh mulakan suapan pertama. Ini akan menimbulkan rasa yang bercampur baur enaknya.
Rasa masin budu menaikkan selera makan. Nasi ulam dan sambal kelapa melahirkan rasa lemak. Kemudian disambung dengan keropok ikan yang rangup. Dicampur pula dengan isi ketam yang manis. Anda boleh bayangkan tak semua rasa ini ada serentak dalam mulut kami. Alangkah nikmatnya.
BACA: Vocket Makan… Sup Urat Keting Bandar Baru Bangi
Habis sahaja menikmati nasi dan lauknya, kami ratah pula ketam. Memang leceh makan ketam ni sebab nak kena patahkan kulit baru boleh merasa isinya. Tapi bab menghirup isi ketam memang best.
Kemudian, kami cuba Nasi Kerabu Daging Madu 3. Alamak, dagingnya memang lembut dan manis. Agaknya itulah sebab dapat Madu 3. Madu kuasa 3.
Nak order air? Maaf, gerai ini tidak menyediakan air berbayar. Dia bagi free je. Tapi ada 2 perisa air sahaja iaitu air kosong suam dan air teh ‘O’ sejuk. Anda boleh minum dan tambah seberapa banyak yang anda suka. Kami suka konsep kedai ini memberi minuman percuma kepada pelanggan.
Secara keseluruhannya, kami rasa nasi kerabu ini paling sedap pernah kami cuba. Yang bestnya, portion dia memang banyak. Sekali makan memang puas hati.
Untuk pengetahuan anda, kedai Nasi Kerabu Cholleey ini menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan untuk sekitar Putrajaya , Cyberjaya dan Bangi. Sila lihat info di bawah untuk maklumat lanjut.
Nama gerai : Nasi Kerabu Cholleey
Lokasi : Plot 72426 , Kampung Sungai Balak , Km.20 , Jalan Cheras, 43000 Kajang, Malaysia
Layari laman Facebook Page kedai ini.
Waktu beroperasi : Isnin – Ahad 9:30 am – 8:00 pm
BACA: Jom Makan: Aplikasi Bantu Cari Tempat Makan Di Malaysia
BACA juga: Vocket Makan… Nasi Kandar Melayu Apollo di Seksyen 9, Bangi