Pengadil yang bertugas ketika perlawanan pembukaan saingan AFC B-23 Tahun antara Indonesia menentang Qatar, Nasrullo Kabirov menerima ancaman bunuh dari peminat skuad Garuda.
Ancaman ini hadir selepas mereka tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Kabirov ketika perlawanan berlangsung yang menyaksikan Ivar Jenner dan Ramadhan Sananta dilayangkan kad merah dan Indonesia tewas dengan keputusan 2-0.
Baca Juga:
- Shin Tae-yong: Ini Bukan Perlawanan Bola Sepak, Ini Acara Komedi
- Piala Asia B-23: Kalah Kepada Qatar, Indonesia Hantar Surat Protes Kepada AFC
- Penjaga Gol Inter Milan Semakin Hampir Perkuat Indonesia
Peminat negara jiran menyerang laman Instagram pengadil dari Tajikistan itu dan ruangan komen dipenuhi dengan kritikan, cacian serta ugutan terhadap beliau.
“Kamu tidak boleh mengendalikan perlawanan dengan baik, kamu hanya melakukannya karena wang? Jika kamu datang ke Indonesia akan ku pastikan kamu pulang mati,” tulis akaun Instagram @mangbeloxx._.
What do you think? pic.twitter.com/xeqM92JouA
— Sengkuang (@sidak_ulu) April 15, 2024
Ketika artikel ini ditulis, ruangan komen Instagran Kabirov telah menerima sebanyak 554 ribu komen yang kebanyakannya dari peminat Indonesia.
Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong tidak dapat menyembunyikan amarah beliau terhadap pengadil dimana jurulatih dari Korea Selatan itu menganggap perlawanan semalam bukanlah perlawanan bola sepak tetapi acara komedi.
Dalam sidang media selepas perlawanan, Tae-yong secara lantang mengkritik pengadil, Nasrullo Kabirov dan penjaga teknologiVideo Assistant Referee (VAR), Sivakorn Pu-Udom yang mana menurut beliau merugikan Indonesia.
“Tahniah kepada Qatar. Pemain saya memberikan segalanya untuk menampilkan persembahan yang baik, memandangkan kami kurang jumlah pemain di atas padang dan mereka tidak mudah berputus asa.
“Bagaimanapun, banyak keputusan pengadil sepanjang perlawanan, jika anda lihat, ia bukan perlawanan bola sepak, ia adalah pertunjukan komedi dan sangat keterlaluan.
“Saya tidak boleh berkata apa-apa tentang pemain yang menerima kad merah, saya buntu. Bola sepak tidak sepatutnya dimainkan seperti ini.
“Untuk kad merah pertama kami, langsung tidak ada sebarang sentuhan yang dilakukan. Mengapa mereka menggunakan VAR dalam situasi seperti ini?,” katanya.
Qatar mendahului pada separuh masa pertama dengan Khalid Ali Sabah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil atas kesalahan yang dilakukan oleh Rizky Ridho terhadap Mahdi Salem.
Pada separuh masa kedua, Qatar menambah jaringan menerusi sepakan percuma yang diambil Ahmed Al-Rawi. Shin Tae-yong turut menerima kad kuning semasa perlawanan kerana membantah keputusan pengadil.