Neelofa tampil memberikan penjelasan berhubung kontroversi pembatalan acara keagamaan yang dianjurkan bersama suaminya, PU Riz, selepas timbul dakwaan peserta hanya ditawarkan produk sebagai ganti kepada tiket penyertaan.
Menerusi hantaran di Threads, Neelofa menegaskan bahawa setiap peserta diberikan pilihan untuk membuat keputusan sendiri berhubung kaedah penyelesaian yang ditawarkan pihak penganjur.
Beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap laporan yang disifatkannya memberikan gambaran seolah-olah pihak penganjur menggantikan tiket peserta dengan produk tanpa menyediakan pilihan bayaran balik.
“Cara artikel kamu ditulis memberikan gambaran bahawa kami sekadar menggantikan tiket mereka dengan produk tanpa menawarkan sebarang pilihan bayaran balik. Itu mengelirukan dan tidak adil kepada pasukan kami,” katanya.
Neelofa turut meminta pihak media melakukan semakan fakta dengan teliti serta mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua pihak sebelum menerbitkan laporan yang berpotensi menjejaskan reputasi sesebuah jenama.
Menurutnya, pihak mereka mengalu-alukan pelaporan yang adil, namun setiap laporan perlu berasaskan fakta yang tepat.

Kontroversi itu tercetus selepas pembatalan acara berkenaan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen, khususnya berkaitan penyelesaian bayaran tiket peserta.
Isu tersebut menjadi perhatian apabila timbul dakwaan bahawa peserta ditawarkan produk sebagai ganti kepada penyertaan yang dibatalkan.
Bagaimanapun, menerusi respons terbaharunya, Neelofa menegaskan bahawa peserta mempunyai pilihan sendiri dan mempertikaikan laporan yang didakwanya tidak menggambarkan keseluruhan situasi dengan tepat.