Negeri Sembilan Antlers tampil penuh meyakinkan untuk menewaskan Kuala Lumpur Thunder 2-0 sekali gus dinobatkan juara Sepak Takraw League (STL) Champions Cup 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup MBSJ, Serdang Jaya sebentar tadi.

Kemenangan pada perlawanan akhir itu sekali gus mengekalkan kejuaraan yang dimenangi Negeri Sembilan Antlers pada musim lalu dimana mereka menundukkan Perak Bison juga dengan keputusan ‘straight set’.

Baca Juga:

Kejayaan manis dilakarkan skuad kendalian Shahir Nasruddin itu juga berjaya menghalang dominasi penuh Kuala Lumpur Thunder yang sebelum ini menggungguli lima Grand Prix dan muncul juara keseluruhan STL 2024.

Mempertaruhkan barisan regu utama iaitu Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Muhammad Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan apit kiri, Zulefendi Sumari, Negeri Sembilan Antlers jelas cukup bersedia untuk menghadapi perlawanan penting ini.

Aksi kemas dipamerkan nyata membuatkan Kuala Lumpur Thunder yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican (tekong), Muhammad Redwan Hakim Muhammad dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan apit kiri, Amirul Zazwan Amir.

Pertembungan kedua-dua pasukn begitu menarik untuk disaksikan apabila kelebihan 10-5 dipegang KL Thunder berjaya dipadamkan Negeri Sembilan Antlers yang kemudiannya menang 17-15.

Kemenangan itu menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Negeri Sembilan yang tampil garang pada set kedua untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka dengan kemenangan 15-10.

Sementara itu, Selangor Pistons menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Perak Bison dalam aksi yang berlanjutan ke set penentuan 12-15, 15-13, 15-13.