Perak Bison menambah duka buat Royal Thai Air Force Takraw Club selepas berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 pada aksi kedua kumpulan B Sepak Takraw League (STL) Champions Cup 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup MBPJ, Serdang Jaya sebentar tadi.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut dialami pasukan jemputan yang dibarisi bintang ternama Thailand itu dimana semalam mereka tunduk kepada Selangor Pistons 0-2.
Baca Juga:
- STL Champions Cup 2024: Selangor Pistons Pamer Aksi Memukau Tewaskan Royal Thai Air Force
- STL Champions Cup 2024: Perak Bison Bermula Baik Tundukkan STFI-India Fighters
- Jadual Penuh Perlawanan STL Champions Cup 2024
Keputusan yang sekali gus membawa Perak Bison ke separuh akhir manakala Royal Thai Air Force terpaksa menelan kepahitan terkeluar daripada persaingan.
Membariskan Kritsada Sungvung selaku tekong, Muhammad Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) dan apit kiri, Aidil Aiman Azwawi, Perak Bison jelas membuktikan kemampuan sebenar mereka.
Variasi servis menarik daripada Kritsada, rejaman kemas Noraizat serta ketenangan Aidil Aiman jelas membuatkan Siriwat Sakha (tekong), Phutawan Sopa (apit kanan) dan Wichan Temkort (apit kiri) berdepan masalah.
Dengan aksi saling kejar-mengejar dijelmakan kedua-dua regu, Perak Bison tidak melepaskan peluang untuk menang set pertama dengan mata 15-12.
Tersentak dengan kekalahan tersebut, Royal Thai Air Force kembali bangkit pada set kedua dengan menampilkan aksi lebih baik untuk menang 15-9 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Tidak mahu menempah laluan sukar untuk mara ke separuh akhir, Perak Bison memperkemaskan segenap aspek dalam set ketiga hingga membolehkan mereka mengesahkan kemenangan 15-8.
Dengan keputusan ini, Royal Thai Air Force akan berhadapan dengan STFI-India Fighters dalam aksi pelengkap jadual pada 5.00 petang manakala Perak dan Selangor Pistons bakal berentap untuk menentukan juara dan naib juara kumpulan B.