Berakhirnya peringkat kumpulan menyaksikan senarai empat pasukan yang bakal beraksi di separuh akhir STL Champions Cup 2025 sudah pun terjawab.

Dalam kumpulan A, Negeri Sembilan Antlers dan Perak Bison menepati ramalan awal apabila menjadi dua pasukan terbaik.

Baca Juga:

Kemenangan 2-1 Negeri Sembilan Antlers ke atas Perak Bison pada aksi terakhir sebentar tadi membolehkan pasukan tuan rumah itu mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan.

Persaingan lebih mendebarkan dalam kumpulan B apabila Kuala Lumpur Thunder dan Ratchaburi Takraw Club berjaya meneruskan kemaraan.

Lebih menarik, kemenangan hebat dilakarkan anak-anak buah Rosli Rahman itu adalah dengan ‘menendang keluar’ pasukan pilihan, Melaka Titans daripada persaingan ke separuh akhir.

Kejayaan empat pasukan ini memastikan pentas separuh akhir yang berlangsung petang esok bakal menjanjikan aksi penuh dramatik.

Perak Bison mahu meneruskan rentak konsisten selepas muncul juara keseluruhan STL 2025 tempoh hari manakala Kuala Lumpur Thunder pula pastinya berhajat besar untuk mengekalkan prestasi cemerlang di Seremban.

Selain itu, Negeri Sembilan Antlers juga mengintai peluang untuk muncul juara STL Champions Cup buat kali ketiga berturut-turut dan Ratchaburi pula berazam untuk memecah monopoli pasukan tempatan dalam kejohanan ini.

Satu keadaan yang cukup menarik untuk kita saksikan esok di Karisma Arena, Seremban.

Pasukan Ke Separuh Akhir STL Champions Cup 2025

1) Negeri Sembilan Antlers

2) Perak Bison

3) Kuala Lumpur Thunder

4) Ratchaburi Takraw Club

Jadual Separuh Akhir STL Champions Cup 2025

1) Negeri Sembilan Antlers lawan Ratchaburi Takraw Club – 1.00 Petang

2) Kuala Lumpur Thunder lawan Perak Bison – 2.30 Petang