Lima pasukan jemputan dari luar negara bakal memeriahkan kejohanan kemuncak STL Champions Cup 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 7 September nanti di Karisma Arena, Seremban.
Pasukan jemputan tersebut akan bersaing dengan lima lagi pasukan tangga teratas bagi kedudukan keseluruhan saingan Liga Premier STL 2025.
Baca Juga:
- STL 2025: Kedudukan Terkini Selepas Berakhirnya 5 Pusingan GP

- STL 2025: Perak Bison Juara Di Laman Sendiri Atasi Kelantan Warriors

- STL 2025: Ini Perubahan Format Yang Buatkan Laluan Kejuaraan Lebih Mencabar

Selepas mengharungi lima saingan Grand Prix (GP), perebutan tempat untuk lima pasukan terbaik semakin menarik untuk disaksikan dimana GP Pulau Pinang akan menjadi pusingan terakhir sebelum ke Champions Cup.
Manakala lima pasukan jemputan yang dimaksudkan ialah Ratchaburi Takraw Club (Thailand), India Fighters (India), Japan Sepaktakraw (Jepun), Korea Selatan dan MGPC Singapore.

Ratchaburi yang dibimbing legenda, Pornchai Kaokaew bakal menampilkan skuad terbaik mereka iaitu Rattadech Noijaroen (tekong), Varayut Jantarasena (apit kanan) dan Pattarapong Yupadee (apit kiri).
Rattadech bukanlah asing dalam saingan STL kerana sebelum ini beliau pernah menyarung jersi Johor Tigris.
Varayut pula masih bersama skuad kebangsaan Thailand yang terkenal dengan libasan padu dimilikinya manakala Pattarapong adalah apit kiri legenda Thailand.
India Fighters juga berkemungkinan akan menyandarkan harapan kepada apit kanan berkualiti yang turut beraksi bersama skuad kebangsaan India, Yumnam Akash.
Negeri Sembilan Antlers merupakan juara bertahan STL Champions Cup apabila menundukkan Kuala Lumpur Thunder 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup MBSJ, Serdang Jaya, 17 November tahun lalu.
Pasukan Jemputan Dalam STL Champions Cup 2025
1) Ratchaburi Takraw Club (Thailand)
2) India Fighters (India)
3) Japan Sepaktakraw (Jepun)
4) Korea Selatan
5) MGPC Singapore (Singapura)