Saingan STL Champions Cup 2025 bakal berlangsung pada 3 hingga 7 September nanti di Karisma Arena, Negeri Sembilan yang menampilkan 10 pasukan.

Lima pasukan terbaik saingan STL musim ini iaitu Perak Bison, Kuala Lumpur Thunder, Melaka Titans, Negeri Sembilan Antlers serta Johor Tigris akan turun beraksi bersama-sama lima lagi pasukan jemputan.

Baca Juga:

Lima pasukan jemputan STL Champions Cup 2025 pula terdiri daripada Ratchaburi Takraw Club, STFI India Fighters, Japan Sepaktakraw, KSTA Korea dan MGPC Singapore.

Dengan sepak mula yang semakin hampir, undian yang berlangsung malam tadi sebaik berakhirnya upacara penyampaian hadiah GP Pulau Pinang turut menyaksikan cerita menarik untuk diperkatakan.

Ia berikutan kumpulan B yang boleh dianggap sebagai kumpulan sukar selepas Melaka Titans diundi bersama Kuala Lumpur Thunder, Ratchaburi Takraw Club, Japan Sepaktakraw dan KSTA Korea.

Manakala kumpulan A pula menampilkan Perak Bison, Negeri Sembilan Antlers, Johor Tigris, STFI India Fighters dan MGPC Singapore.

Negeri Sembilan Antlers merupakan juara bagi dua edisi terakhir apabila regu Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zulefendi Sumari menumpaskan Perak Bison pada 2023 dan Kuala Lumpur Thunder, musim lalu.

Edisi kali ini pastinya menjanjikan cabaran lebih sengit dengan kehadiran kelab jemputan luar negara yang semakin meningkat kualitinya.

Sebagai contoh, Ratchaburi Takraw Club dari Thailand akan turun ke Seremban dengan menampilkan barisan terkuat susulan kehadiran apit kanan legenda, Pattarapong Yupadee dan pemain skuad kebangsaan Thailand, Sutthikiart Pansankaew.

Sementara itu mengulas kemeriahan penganjuran STL semakin hangat dapat dirasai saban tahun, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John teruja melihat perkembangan tersebut.

“CelcomDigi STL Champions Cup 2025 menjadi satu lagi detik penting dalam perjalanan STL musim ini. Buat kali ketiga, kami membawakan pasukan jemputan antarabangsa untuk menghangatkan gelanggang.”

“Dan kali ini lebih meriah dengan penyertaan 10 pasukan berbanding 8 pasukan musim lalu,pastinya menjanjikan lebih banyak perlawanan, aksi lebih sengit serta drama yang lebih mendebarkan.”

“Kami juga teruja kerana edisi berprestij ini akan berlangsung buat julung kalinya di Stadium Karisma, Negeri Sembilan iaitu gelanggang pasukan Negeri Sembilan Antlers, yang merupakan juara bertahan STL Champions Cup.”

“Saya yakin kehadiran penyokong setia akan mencipta suasana luar biasa seperti yang kita saksikan baru-baru ini dalam pertemuan Perak Bison menentang Kelantan Warriors di final STL Premier Grand Prix Perak.

“Perlawanan tersebut mencatatkan tontonan tertinggi musim ini, dan kami percaya kehangatan serta sokongan hebat itu akan terus bergema dan lebih meriah kali ini,” tambah beliau lagi.

Keputusan Undian STL Champions Cup 2025

Kumpulan A – Perak Bison, Negeri Sembilan Antlers, Johor Tigris, STFI India Fighters & MGPC Singapore

Kumpulan B – Melaka Titans, Kuala Lumpur Thunder, Ratchaburi Takraw Club, Japan Sepaktakraw dan KSTA Korea.