Seorang pesara wanita berusia 63 tahun kerugian lebih RM4 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang diiklankan di Facebook.

Menurut laporan NST, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, wanita tersebut menemui iklan tersebut pada bulan Mac dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp.

Wanita tersebut diarahkan untuk membuka akaun Foreign Direct Investment (FDI) Hub bagi memudahkan pelaburannya.

Mangsa yang tertarik dengan pulangan yang dijanjikan antara 11 hingga 13 peratus serta prospek keuntungan yang berterusan, menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meneruskan pelaburan.

“Seperti yang diarahkan, beliau membuka akaun FDI Hub dan melakukan 42 transaksi dari bulan Mac hingga akhir Mei, yang berjumlah RM4,749,214,” kata Mohd Iqbal.

Setelah jumlah pelaburannya mencapai RM11.3 juta, wanita tersebut cuba untuk mengeluarkan dana tetapi mendapati bahawa tiada wang yang dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Dalam keadaan tertekan, beliau membuat laporan polis pada pukul  di balai polis Seksyen 9.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun, dengan sebatan dan denda.

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan pelaburan, terutamanya yang diiklankan di media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa yang singkat.

“Pelaburan harus dijalankan melalui platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM). Orang ramai boleh menyemak pendaftaran syarikat di laman web BNM dan harus menghubungi polis jika mereka menemui tawaran pelaburan yang mencurigakan,” tambahnya.