Tel Aviv terus dibedil. Dan ianya terus meningkatkan lagi ketegangan di Asia Barat.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan amaran keras terhadap kumpulan bersenjata Lubnan, Hezbollah, susulan peningkatan serangan roket dan dron ke kawasan utara Israel.
Dalam sidang media terbarunya, Netanyahu menegaskan Hezbollah akan “membayar harga yang berat” sekiranya kumpulan itu terus melancarkan serangan terhadap Israel.
Menurutnya, tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan keselamatan di Tel Aviv, malah berisiko mencetuskan konflik lebih besar di rantau tersebut.
Netanyahu turut menuduh kerajaan Lubnan gagal mengawal aktiviti Hezbollah di wilayahnya.
Malah, Netanyahu kini menganggap Beirut sedang “bermain dengan api” kerana membenarkan kumpulan itu beroperasi secara bebas tanpa mengambil langkah tegas untuk melucutkan senjata mereka.
Perdana Menteri Israel itu turut memberi amaran bahawa Israel bersedia bertindak secara langsung di lapangan sekiranya kerajaan Lubnan gagal mengekang aktiviti kumpulan tersebut.
Dalam masa yang sama, jet pejuang Israel dilaporkan berlegar di ruang udara Beirut ketika Hezbollah melancarkan serangan roket dan dron sebagai tindak balas terhadap perkembangan terbaru di rantau itu.
Ketegangan tersebut tercetus selepas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, dalam serangan yang didakwa melibatkan Amerika Syarikat dan Israel di Tehran.
Israel mendakwa kejadian itu telah mencetuskan gelombang serangan balas daripada rangkaian proksi Iran di rantau Asia Barat termasuk Hezbollah.
Dalam pada itu, Netanyahu turut mendakwa Israel kini sedang membentuk pakatan serantau baharu yang sebelum ini dianggap mustahil untuk direalisasikan.
Dia juga menegaskan bahawa Iran kekal sebagai ancaman terbesar kepada Israel, sambil menuduh negara itu menggunakan rangkaian kumpulan bersenjata serantau untuk melemahkan Israel melalui serangan roket, dron dan pembangunan program nuklear.