Pada saban hari, kita sedia mendengar atau melihat berita tentang kemalangan berkaitan kenderaan berat seperti lori yang mana ada yang meragut nyawa mangsa-mangsa yang tidak bernasib baik.
Orang ramai sering menunding jari kepada para pemandu atau digelar pilot kerana sering dirakam memandu melebih had laju sehingga ada yang terbabas kerana brek tidak makan atau tayar yang haus.
Terbaharu, tular sebuah video yang memaparkan kegiatan individu yang menawarkan servis menambah bunga secara “DIY” pada tayar lama di lori menerusi media sosial.
Di dalam video itu, seorang individu dilihat mengukir corak seperti tayar baharu yang dikeluarkan oleh kilang pada lapisan dasar tayar yang haus.
Walaupun ia dilihat sebagai cara paling murah untuk ‘menambah’ bunga dek kerana mahu menipu pihak berkuasa, ia sememangnya tidak selamat untuk digunakan kerana tiada cengkaman seperti tayar yang dihasilkan oleh jenama terkemuka.
Untuk makluman, tyre retreading ini amat sinonim dengan kenderaan berat kerana kos untuk ganti tayar baru sangat mahal. Pemandu-pemandu lori menggelarkan tayar ini sebagai “tayar celup”.
Buat bunga sendiri ? Macam mana la tak terbabas la , tayar meletup semua 😨 pic.twitter.com/w0ElsoTdaF
— mhmmdhsm (@mhmmdhsm) July 15, 2024
Susulan perkongsian video itu, netizen meluahkan rasa bengang kerana kegiatan individu itu sebenarnya boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
“Boleh tak jangan risikokan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” luah seorang netizen.
“Sebab inilah punca kemalangan. Hilang kawalan lah, brek tak makan, tayar pecah. Pastu nyawa yang tak bersalah hilang macam tu je,” kata seorang netizen lain denga nada amarah.
“Eh bodohnya. Menyirap pulak aku tengok,” kongsi seorang lagi.
Agak mengejutkan juga melihat servis ini sudah sampai ke Malaysia kerana sebelum ini hanya tersedia di negara-negara yang mengalami krisis kewangan seperti di India dan Pakistan.