Dalam Islam, kita memang diajar untuk bersedakah atau berinfaq kerana dapat membantu orang dalam kesusahan di samping meraih pahala berlipat kali ganda.
Namun, timbul satu persoalan apabila ada sesetengah peniaga dilihat mengambil kesempatan dengan menggunakan agama sebagai jalan melariskan barangan jualan dengan mudah.
Seorang wanita di Threads meluahkan rasa ketidak puasan hati selepas menerima mesej yang memperlihatkan seorang peniaga yang menawarkan slot untuk infaq makanan yang dijual pada hari berkenaan.
“Sekarang ni memang trend berniaga guna alasan INFAQ ke? ke penunggang agama INFAQ ? lain la orang approach memang nak INFAQ,” tegasnya.

Hantaran status tersebut langsung mendedahkan realiti di mana memang wujud ada peniaga yang sengaja menggunakan agama demi kepentingan sendiri.
Hal ini kerana ada yang berkongsi ia sudah menjadi satu modus operandi biasa malahan ada yang cuba meraih simpati dengan berbuat sedemikian kerana percaya orang ramai mudah terpedaya.
Lebih teruk lagi, sampaikan ada yang menghantar mesej berulang-kali seolah-olah memaksa individu untuk berbuat infaq pada tarikh-tarikh tertentu kerana ketiadaan peserta.
Sebahagian netizen berpendapat mereka lebih selesa berinfaq atau bersedekah tanpa paksaan kerana di situ barulah timbul keikhlasan berbanding dengan cara sebegini.
Selain itu, mereka juga tidak kisah jika peniaga turut serta meletakkan sedikit modal di dalam kempen infaq terbabit dan bukan sepenuhnya ditanggung oleh pelanggan pula.
Perkara ini turut dibincangkan di pelbagai media sosial lain yang mana turut membidas kegiatan peniaga yang sengaja melariskan jualan atas alasan sedekah di jalan agama seperti memberi makan kepada pengunjung masjid.