Tahukah anda wujud lebih beratus lokasi Bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur? Ini tidak termasuk lagi di negeri lain sekaligus membuatkan orang ramai terpinga-pinga mahu membeli di mana kerana agak mustahil untuk pergi ke semua lokasi di dalam masa sebulan ini.

Baru sahaja 2 hari menjalani bulan Ramadan, sudah timbul sejumlah keluhan dari kalangan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan juadah yang dibeli kerana tidak sepadan dengan harga.

Ada yang dapat roti john rentung, shawarma kosong, nasi tomato yang tidak sedap dan banyak lagi sekaligus membuatkan ramai sedikit skeptikal untuk cuba membeli juadah di bazar ramadan lagi.

Bagaimanapun, di Threads, seorang netizen mendakwa dirinya telah membongkar rahsia di manakah lokasi yang menawarkan juadah berbuka puasa yang berbaloi.

bazar ramadan
Sumber Gambar: Maukerja

Dakwanya, Bazar Ramadan di lokasi golongan orang kaya atau lebih sinonim dengan gelaran T20  menawarkan juadah dengan harga tiga kali ganda lebih rendah dengan kualiti yang bagus berbanding di lokasi orang kebanyakan.

“Tahukah korang Bazar Ramadan di Bangsar kawasan orang kaya, 3x lebih murah, berkualiti, lebih kuantiti berbanding dari Bazar Ramadan B40 pantai dalam?,” kongsinya.

Malah, dia berpendapat Bazar Ramadan B40 adalah jauh lebih mahal sekaligus menyimpulkan yang orang berpendapatan rendah ini sendiri yang menganaiya orang susah lain.

Perkongsian netizen ini langsung meraih perhatian ramai dan meluahkan rasa teringin untuk datang kerana mahu lihat sendiri sama ada ia memang benar atau sebaliknya.

Dalam pada itu, seorang netizen lain turut seakan mengiyakan perkara itu kerana pernah diberitahu oleh seorang kawan lain yang mana telah membeli nasi ayam di Bazar Ramadan T20 di Shah Alam dengan harga RM13 tetapi cukup berpuas hati kerana setara dengan kualiti dan tahap penyampaian yang ditonjolkan menerusinya.