Pada hari ini, semua pelajar tingkatan 5 di seluruh Malaysia sedia mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Bagaimanapun, timbul satu isu yang mengejutkan orang ramai kerana jumlah ketidak hadiran pelajar naik dengan drastiknya.

Menurut laporan Harian Metro, seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Sumber Gambar: Harian Metro

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.

“Kita akan teliti punca kenapa calon ini tidak hadir (menduduki SPM 2023), selepas berlaku penurunan agak banyak (bagi calon yang mendaftar SPM 2023 berbanding 2022).

“Kita akan teliti satu persatu, intervensi akan kita laksanakan untuk tangani perkara ini sebaiknya,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

Susulan perkongsian berita itu, netizen bukan sahaja risau malahan menuduh pengaruh influencer di luar sana menjadi punca semakin ramai murid sekolah semakin malas untuk mengambil kertas peperiksaan SPM.

Bagi mereka, hal ini boleh terjadi ekoran golongan muda sering dimomokkan tentang ketidak perluan mengambil SPM kerana menjadi influencer jauh lebih senang dan lumayan dari segi gaji. Malah, ada individu merendah-rendahkan ilmuwan kerana tidak mampu hidup mewah seperti mereka yang berkerjaya sebagai pencipta konten.

Sumber Gambar: FB
Sumber Gambar: FB

Oleh sebab itu, sebahagian ibu bapa meminta kepada kerajaan mengambil langkah komprehensif dalam membendung isu terbabit. Hal ini penting kerana ramai risau akan pelapis negara yang semakin tidak berkualiti dan bakal ketiadaan sumber pekerja dalam bidang profesional di masa hadapan.

 

Sumber