Sesiapa sahaja boleh melancong secara backpacker ke negara lain namun hanya bergantung kepada ihsan orang ramai untuk tanggung perbelanjaan keperluan atau tiket pulang adalah tidak wajar.
Di negara kita sahaja, sudah sejumlah pelancong terutamanya berkulit putih datang secara backpacker dan tinggal merempat selepas itu gara-gara ketiadaan dana untuk pulang.
Baru-baru ini, seorang individu telah mendedahkan kegiatan seorang pelancong dari luar negara yang sedang meminta sedekah di R&R Ulu Bernam Tanjung Malim Arah Selatan.
Menerusi gambar yang dikongsikan, kelihatan sosok seorang lelaki asing berpakaian singlet dan seluar pendek duduk di lantai bersebelahan gerai R&R.
Malah, terdapat sekeping kadbod yang tertulis padanya mendakwa dia telah mengembara selama sembilan tahun dan rindukan kampung halamannya.
“Hai, saya telah mengembara selama 9 tahun. Saya sangat rindu rumah. Tolong bantu saya mengumpul wang untuk tiket dan makanan,” tulisnya.
Tindakan pelancong itu telah membuatkan individu akaun berkenaan berasa tidak senang sekaligus menggesa pihak berkaitan seperti pengurusan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera.
Menjengah ke ruangan hantaran, rata-rata netizen meluahkan rasa geram dengan dengan perbuatan pelancong terbabit yang sanggup meraih simpati dari warga setempat deni kepentingan peribadi.
Selain mengambil tindakan terhadap pelancong terbabit, ada yang mencadangkan untuk pihak berkuasa mengetatkan kemasukan pelancong seperti di Australia atau Korea Selatan dengan keperluan menampilkan itineri dan juga jumlah wang yang dimiliki.