YouTuber Cardock atau dikenali sebagai Kaduk, semalam berkongsi mengenai perancangannya untuk melakukan siri jelalah Borneo 2.0 dari Sarawak ke Sabah dalam tempoh 30 hari.

Namun, rancangan itu sudah pasti memerlukan kos perbelanjaan yang besar, termasuk kos penginapan, makanan, petrol, wang saku, tiket penerbangan, dan juga kos penghantaran dan penyediaan kereta sport miliknya, Lotus Elise.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menurut Cardock, anggaran jumlah bajet yang diperlukan adalah sebanyak RM36,000. Walaupun bajet ini mungkin dilihat besar, Cardock menjelaskan angka itu hanyalah anggaran kasar.

Tambahnya, beliau sedang mencari penaja untuk membantu menampung sebahagian daripada kos tersebut. Berikut adalah kos yang diperlukan dalam menjayakan jelajah tersebut:-

1. Penghantaran kereta ke Sarawak, pergi balik baik kontena = RM10,000

2. Penginapan sehari, RM150 x 30 hari = RM4,500

3. Makan, minum sehari, RM100 x 30 hari = RM4,500

4. Minyak petrol harian, RM100 x 30 hari = RM3,000

5. Duit belanja anak dan isteri / barang dapur sebulan = RM3,000

6. Tiket kapal terbang, setiap kali lalu daerah yang ada airport, untuk melawat anak isteri RM500 x 5 = RM2,500

7. Kos persediaan Lotus Elise = RM10,000

“Jumlah kasar RM36,000. Ini adalah rancangan kewangan secara kasar. Nampak macam mengarut, angan-angannya macam inilah.

“Sesiapa berminat menjadi penaja untuk jelajah kali ini, boleh WhatsApp saya. Tak dapat taja semua, taja sikit-sikit pun boleh. Kita boleh bincang bentuk kerjasama timbal balik yang bersesuaian. Insyaallah kali ini kita buat live tanpa ada masalah.

“Ada penaja atau tiada penaja. Insha-Allah (jelajah Borneo 2.0) tetap jalan. Cuma cepat atau lambat. Sebarang bentuk tajaan Insha-Allah boleh membantu mempercepatkan dan digantikan dengan program kerjasama yang bersesuaian,” katanya lagi.

Bagaimanapun, sejumlah netizen merasa bahawa bajet yang ditetapkan oleh Cardock adalah tidak munasabah dan mencadangkan alternatif yang lebih berhemat seperti menggunakan bas atau basikal menjelajah Borneo.

Bahkan, ada juga yang mempersoalkan keperluan Cardock untuk mencari penajaan walhal beliau sendiri mampu memiliki kereta mewah seperti Lotus Elise.

“Naik bas Cardock, lagi jimat. Baru ada feeling menjelajah,” cadang seorang pengguna.

“Ada orang naik basikal saja untuk menjelajah borneo. Tak ada nak meminta-minta macam ni,” kongsi seorang pengguna lain.

“Aku tiap-tiap hari jelajah Sarawak naik Perodua Axia, tak ada pun minta orang sponsor. Kau mampu beli kereta mewah, tak patut nak minta orang sponsor?” kata seorang individu yang tidak berpuas hati dengan permintaan tajaan itu.

Menyedari reaksi negatif ini, Cardock tampil memberi penjelasan bahawa dia hanya sekadar berkongsi jumlah kos yang diperlukan untuk merealisasikan jelajah tersebut, bukannya meminta sedekah.

“Aku beritahu tentang kos yang aku perlu sediakan kalau nak jelajah guna kereta Lotus Elise. Agak besar (amaun). Jadi kalau ada pihak yang nak taja untuk timbal balik mempromosikan perniagaan penaja, Alhamdulillah dapat mengurangkan kos yang aku kena sediakan.

“Tetapi kalau tak ada orang nak taja, tak apa. Tetap itu juga kos yang aku kena sediakan.

“Aku cuma kongsi kos sahaja, tak minta pun sedekah. Kalau kau orang nak sedekah, pergi sedekah kepada golongan yang memerlukan.

Saya tak perlukan sedekah daripada anda. Saya cuma cari penaja untuk bekerjasama bagi mengurangkan kos perancangan saya,” responnya kepada komen-komen negatif yang dilemparkan.

Sumber