Pada hujung minggu lalu nama Malaysia menjadi bualan dunia setelah kumpulan muzik The 1975 telah mencetuskan provokasi di dalam negara ini semasa satu acara festival berlangsung.

Orang ramai meluahkan rasa amarah terhadap pemuzik tersebut melalui media sosial. Pada masa sama turut mempertikaikan mengapa pihak berkuasa tidak menahan kumpulan muzik yang memperjuangkan komunit LGBT itu keluar dari Malaysia.

Baca Juga:

Sehubungan dengan itu Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini tampil memberikan penjelasan semasa Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman.

“Insiden ini berlaku pada 21 Julai pada jam 11.30 malam, kita difahamkan selepas insiden berkenaan konsert terbabit dihentikan dan kumpulan ini berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pada jam 5.30 pagi.

“Jadi dalam tempoh enam jam sahaja mereka sudah berlepas pulang dan laporan polis pertama yang diterima adalah pada keesokan hari pada jam 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik,” katanya pada sidang media, hari ini.

Tambah beliau lagi, PDRM akan berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya terdapat proses pendakwaan.

Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini, jadi kita tidak boleh memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali melibatkan kesalahan yang besar, kita akan berurusan dengan pihak UK, petik Berita Harian.

“Saya yakin selepas ini Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) akan lebih berhati-hati,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis sudah mengambil 13 keterangan bagi membantu siasatan berhubung tindakan kumpulan berkenaan.

“Enam keterangan diambil dari pengadu, seorang penganjur dan enam Puspal. Setakat ini pihak polis menerima 18 laporan, lapan daripadanya daripada kontinjen Selangor dan 10 membabitkan kontinjen luar.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil,” katanya.

Terdahulu, The 1975 telah melanggar peraturan persembahan dalam Malaysia dengan merokok, minum minuman keras, meludah, memperlekeh undang-undang syariah mengharamkan LGBT dan bercium rakan sejantina di hadapan penonton.

Akibat perbuatan tersebut, acara festival yang berbaki dua hari telah diarahkan dihentikan serta-merta oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil — pada masa sama vendor-vendor makanan turut terjejas di mana stok makanan mereka masih banyak belum terjual.

Sumber