Tugas seorang guru merupakan tugas yang sangat penting dalam mendidik dan membimbing para pelajar. Selain berperanan sebagai pendidik, mereka yang bergelar guru ini juga layak digelar sebagai ‘ibu’ atau ‘ayah’ di sekolah kerana sifat penyayang itu wujud dalam diri mereka.
Baru-baru ini tular beberapa keping gambar sebuah kiosk tatarias yang disediakan beberapa orang guru di sebuah sekolah rendah di Cameron Highlands, Pahang, yang telah menarik perhatian orang ramai
Perkongsian yang dimuat naik oleh guru besar sekolah tersebut, Rosnani Ghazali di laman Facebook TcherCollection – TC menunjukan usahanya bersama guru-guru lain menyediakan satu kiosk tatarias yang dibuat khas untuk anak-anak murid di sekolah mereka.
Menurut perkongsian tersebut, kiosk tatarias tersebut diwujudkan adalah untuk mencantikkan serta mengemaskan murid-murid sekolah itu. Murid-murid akan kelihatan lebih segak dan tiada lagi bau yang kurang menyenangkan.
Kiosk tatarias itu menyediakan cermin, sikat rambut, bedak talkum, minyak wangi, gel rambut dan lain-lain yang boleh digunakan murid-murid di situ, baik lelaki mahupun perempuan, di mana majoritinya terdiri daripada golongan orang asli.
Tambahan pula, turut disediakan tabung bagi sesiapa yang ingin menyumbang demi menambah stok barangan kegunaan di kiosk tatarias berkenaan.
Perkongsian tersebut telah menerima banyak pujian daripada netizen dan rata-rata netizen mengagumi idea kreatif guru-guru di sekolah rendah itu. Bahkan ada juga yang ingin mengikuti jejak langkah dengan menyediakan kiosk tatarias ini di sekolah masing-masing.
Perkara yang dilakukan oleh guru-guru di sekolah ini harus dicontohi oleh guru-guru di sekolah lain bagi lebih menarik minat pelajar untuk datang ke sekolah.
Terdahulu, sebuah sekolah Selangor memberikan motorsikal kepada pelajar yang tidak pernah ponteng sekolah. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.
Sekolah Ini Beri Hadiah Motosikal Dan Tiket Percutian Kepada Pelajar Dengan Kehadiran Penuh
Sekolah Di Kedah Ini Gunakan Sistem Pengecaman Wajah Untuk Elakkan Pelajar Ponteng Kelas
Kerajaan Cadang Jadikan Sekolah Pondok Sebagai Pusat Tarikan Pelancong