Lambakan graduan universiti pada hari ini dilihat tidak seimbang dengan penawaran peluang kerja di dalam industri profesional. Perkara ini bukanlah suatu yang sihat kerana pengetahuan dan kemahiran mereka tidak dapat dimanfaatkan kepada pertumbuhan negara.
Menerusi laporan Sinar Harian, sebanyak 60 peratus pekerja gig di Malaysia memiliki diploma atau kelayakan yang lebih tinggi.
Baca Juga:
- ‘8 Calon Yang Dipanggil, Hanya Seorang Hadir’ – Perekrut Kesal Gen Z Suka ‘Ghosting’ Untuk Temuduga
- ‘Apa Khabar Murid Target’ – Gen Z Di TikTok Berbalah Isu Mampu Kaya Tanpa Pendidikan Tinggi

Dapatan itu berjaya diperoleh menerusi analisis yang dilakukan oleh Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution dalam Kertas Putih (Malaysia Centre4IR) yang bertajuk ‘Apa Yang Pekerja Gig Inginkan: Memahami Keutamaan Kerja dan Kebajikan Pekerja Gig di Malaysia’.
Menurut Ketua Malaysia Centre4IR dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, Fabian Bigar, analisis itu turut melibatkan kerjasama Global Market Research and Public Opinion Specialist (IPSOS) dan Forum Ekonomi Dunia.
“Penerbitan analisis ini melibatkan 1,500 pekerja gig di Malaysia yang mengambil kira faktor demografi, pendapatan, motivasi dan sebagainya.
“Dalam kertas putih ini juga turut menyentuh mengenai pekerja gig menghargai fleksibiliti, kebolehcapaian dan pendapatan tambahan yang disediakan oleh ekonomi gig,” katanya ketika majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama Malaysia Centre4IR baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa individu tertarik kepada semua jenis pekerjaan gig sama ada berasaskan platform atau bukan platform.
Katanya, ia disebabkan oleh peluang pendapatan tambahan yang fleksibel dan boleh diakses berdasarkan perkara yang mereka tawarkan.
Analisis itu turut mendedahkan bahawa hampir 80 peratus pekerja gig berumur 25 tahun ke atas dengan segmen yang besar berada dalam kumpulan umur 25 hingga 34 tahun.
Tambahan pula, sekitar 19 peratus pekerja gig itu merancang untuk menjadikan pekerjaan tersebut sebagai satu kerjaya dalam satu jangka masa yang lama.
“Seterusnya, sebanyak 70 peratus daripada mereka terlibat dalam segmen melakukan kerja gig sebagai pekerjaan sambilan untuk menambah pendapatan.
“Seterusnya menyumbang kepada 37 peratus purata jumlah pendapatan mereka dan menunjukkan ia berfungsi sebagai sumber pendapatan tambahan dan bukan sumber utama,” katanya.
Perkongsian statistik itu telah meraih perhatian netizen di media sosial dan menerima pelbagai reaksi menerusinya.
Rata-ratanya netizen meluahkan kerisauan apabila mengetahui semakin ramai graduan yang berpelajaran tinggi sepatutnya menceburi di dalam dunia profesional kini hanya mampu berkerja dalam kerja gig seperti rider atau membawa grab.
“Sayang, sijil yang tidak digunakan sebaiknya bagi pembangunan umah,” luah seorang netizen.
“Warga asing sibuk nak jadi tokey, orang kita sibuk jadi rider. Makin tenat Malaysia,” ujar seorang netizen lain.
“Pekerja rugi experience kerja dan senioriti..negara rugi tenaga mahir..kerja gig boleh jadi kerja sampingan,” kata seorang netizen di FB.
“Macam mana tak buat Grab, peluang kerja pun kurang. Tak kira lagi nak kena lawan dengan yang guna kabel,” kongsi seorang lagi yang mendakwa peluang pekerjaan semakin sedikit ditambah dengan penggunaan ‘orang dalam’.
Bagaimanapun, ada yang membela mereka dengan alasan pekerjaan gig jauh lebih fleksibel dari segi masa dan mampu meraih pendapatan lumayan berbanding kerja profesional.
“Mana tidaknya kerja rider lagi banyak gaji dari kerja bawah orang,” kata seorang netizen.
Bukan itu sahaja, ada yang mendakwa mereka memilih berkerja gig kerana tidak suka dikongkong atau mengharungi politik dalam organisasi yang penuh drama.
Perkembangan ini bukanlah sesuatu yang membanggakan kerana ia bakal menjadi masalah besar dalam jangka masa panjang kerana ketiadaan pekerja berkemahiran tinggi dari kalangan rakyat sendiri.