Bagi penduduk sekitar Taman Melawati, ‘Darul Haslam’ bukanlah satu nama yang asing kerana ia merupakan tempat tinggal pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam dan ahli keluarganya.

Baru-baru ini intern di syarikatnya, Skop Productions telah datang ke rumah beliau sangat besar dan luas untuk membuat sedikit video.

Baca Juga:

“Hello guys, hari ini ada budak-budak intern duduk sibuk nak ikut saya nak tengok kebun saya, kambing-kambing dan ayam itik saya bela,” seloroh Yusof Haslam.

Oleh kerana Darul Haslam berada di kawasan tinggi, kesemua intern itu dibawa menuruni tangga anak tangga yang tinggi dan cerun sebelum sampai ke tempat yang ingin di tuju.

Tempat pertama yang Yusof Haslam tunjukkan adalah gelanggang badminton yang sering digunakan untuk bermain bersama anaknya, Syamsul.

Pada masa sama ia juga digunakan menjadi tempat penggambaran filem Sembilu dan siri drama televisyen Sembilu Kasih sekitar tahun 2003.

Kemudian beliau membawa kesemua intern pergi ke kandang kambing dan dua reban ayam yang berada di dua aras berbeza. Menurut Yusof Haslam, dahulu jumlah haiwan ternakannya lebih banyak daripada apa intern lihat pada ketika itu, namun sejumlah besar sudah disembelih sebelum ini.

Sumber Gambar: Facebook Skop FB Fan

Selepas itu pengarah terkenal itu membawa mereka menuju ke sebuah halaman luas yang terletak di atas sebuah rumah. Di situ disediakan meja dan kerusi untuk menikmati pemandangan di sekitar kawasan Melawati dan Ampang.

“Ini rumah anak saya, Faizal, abang kepada Syamsul, dah lama dah” ujar Yusof Haslam.

Pada akhir video itu Yusof Haslam berharap kesemua anak-anak lelakinya berjaya dalam kehidupan.

“Saya pun sudah berada di hujung usia. Walaupun di penghujung usia, Insha Allah saya teruskan perjuangan saya selagi saya sihat, selagi saya mampu.

“Kekuatan itu akan datang daripada sokongan anak-anak, datin, adik-beradik, peminat-peminat filem, kawan-kawan, rakan seperjuangan, pekerja-pekerja dan budak-budak intern kuat makan,” kata Yusof Haslam sebelum vlog pendek itu ditamatkan.

Sumber Gambar: Facebook Skop FB Fan

Pada ruangan komen video itu, rata-rata netizen turut mendoakan kesejahteraan buat Datuk Yusof Haslam dan seluruh keluarganya, dapat terus menghasilkan karya-karya filem terbaik pada masa hadapan.

Sementara itu, baru-baru ini tular video anaknya, Syamsul Yusof tenang menangani situasi kereta Lamborghini berasap. Anda boleh baca lebih lanjut di sini.