Dalam dunia bola sepak, perbandingan antara tahap serta kualiti liga-liga sering kali menjadi topik perbincangan yang hangat dan ia turut bermain di fikiran pemilik Buriram United, Newin Chidchob.
Newin tanpa berselindung mengakui bahawa kelabnya lebih baik berbanding gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Baca Juga:
- Kenali Newin Chidchob, Tulang Belakang Kekuatan Buriram United
- Penjualan ‘Menggila’ Jersi Buriram United: Kecemerlangan Seiring Dalam & Luar Padang
- Dion Cools Antara Penerima Gaji Tertinggi Di Buriram United
Kedua-dua pasukan bertemu pada aksi Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 3 Disember lalu.
Perlawanan bagaimanapun berkesudahan tanpa jaringan dengan Murilo dan Park Jun-heong dari JDT serta Theerathon Bunmathan dilayangkan kad merah.
Melihatkan kepada aksi kedua-dua pasukan, Newin merasakan bahawa pasukannya mempunyai kualiti lebih baik berbanding pasukan tuan rumah.

“Kita boleh bertemu lagi tetapi anda (merujuk kepada JDT) tidak akan bertahan. JDT tidak kuat seperti Buriram United.”
“Saya harus katakan bahawa standard Liga Malaysia tidak setaraf dengan Liga Thailand,” ujar Newin menurut video yang dimuatnaik SNE Sports.
“Saya jujur bahawa walaupun JDT telah membawa lebih banyak pemain import, tetapi itu bukanlah sesuatu yang saya perlu risaukan (tahap pemain import JDT).”
“Saya katakan ini, untuk Presiden JDT supaya melabur lebih banyak dan tahun depan kita akan mempunyai satu perlawanan yang menyeronokkan,” tambah Newin Chidchob lagi.
Buriram United merupakan gergasi bola sepak Thailand dengan 10 kejuaraan Thai League 1 yang dimenangi sejak 2008 manakala reputasi hebat JDT tidak perlu diperkatakan dengan 10 kejuaraan berturut-turut dimenangi skuad Harimau Selatan dalam Liga Super.