Newin Chidchob adalah individu yang memainkan peranan penting dalam menjadikan Buriram United sebagai antara pasukan gergasi di Thailand sebaik sahaja mengambil alih kelab tersebut pada Disember 2009.

Beliau merupakan bekas ahli politik yang mendukung kuat bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra tetapi kemudiannya bertindak mengkhianati bekas ‘boss’nya itu ketika beliau digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Newin juga pernah digantung selama lima tahun daripada pembabitan dari sebarang aktiviti politik pada 2007 kerana didapati bersalah kerana membeli undi.

Meskipun dalam politik, namanya sedikit tercemar dek skandal rasuah tersebut tetapi Newin begitu dihormati dalam mengendalikan pasukan bola sepak.

Daripada seorang ahli politik dilabel sebagai pengkhianat kepada ketuanya dan kurang bersih, beliau menjadi individu yang cukup disayangi rakyat Buriram.

Bersandarkan kepada kekayaan dimilikinya, Newin Chidchob membangunkan Buriram United dengan penuh rasa keterujaan sehingga menjadikan kelab tersebut sebagai kuasa besar bola sepak Thailand dan beberapa musim beraksi di saingan Liga Juara-Juara AFC.

Ia jelas dibuktikan dengan begitu banyak gelaran juara dimenangi di peringkat domestik (Thai League 1, Piala FA dan Piala Liga).

Menurut satu kenyataan dikeluarkannya di Asean Football pada 4 Februari 2010 sebaik sahaja bersama Buriram, beliau menegaskan rasa cintanya terhadap bola sepak menjurus kepada keputusannya mengambil alih kelab tersebut dan ia bukanlah perkara main-main.

Ternyata apa yang diungkapkan oleh Newin itu benar-benar dikotakan oleh beliau bersandarkan apa yang telah dilakukannya buat kelab itu.

Beliau bukan sahaja menjadikan bandar yang terletak 400 kilometer daripada Bangkok itu sebagai hab sukan terkenal termasuk dengan mewujudkan Litar Antarabangsa Chang, Newin juga dilihat sebagai seorang yang begitu prihatin dengan para penyokong kelab tersebut.

Kredit Foto: Buriram United

Sebagai contoh menurut laporan The Diplomat, Buriram United memberikan elaun bagi rawatan perubatan kepada penyokong yang jatuh sakit selepas memberikan sokongan buat pasukan ketika cuaca hujan ribut.

Newin juga begitu prihatin dalam memikirkan nasib para penyokongnya kerana difahamkan Buriram merupakan antara daerah termiskin di Thailand.

Sehubungan dengan itu, beliau mengambil keputusan untuk tidak membebankan para penyokong yang setia menyokong pasukan apabila menjual jersi pasukan dengan harga mampu milik.

Sehubungan dengan langkah itu, beliau mengambil keputusan untuk mengeluarkan jersi pasukan tanpa sebarang jenama.

Ini merupakan alasan daripada Newin seperti yang pernah dilaporkan oleh VocketFC sebelum ini:

“Buriram United tidak menggunakan mana-mana jenama di jersi kelab kerana apabila ada jenama, harga jersi akan naik. Bila harga mahal, penyokong akan susah kerana pendapatan mereka tidak tinggi.”

“Kami lebih memberikan fokus dan perhatian kepada penyokong. Dari segi kualiti pula jersi yang mereka gunakan mempunyai kualiti kain yang sama dengan jenama seperti Nike, Adidas, Umbro dan lain-lain tetapi harga tidak mahal,” ujar Newin Chidchob.

Sudut pandang yang cukup menarik bagi seorang ketua yang jelas begitu mengambil berat terhadap kesusahan para penyokongnya.

Malah, dengan langkah tersebut dapat disaksikan Buriram United mampu menjana jutaan ringgit pada hari pelancaran jersi bagi setiap musim.

Keadaan ini juga memberikan gambaran jelas bahawa langsung tiada masalah buat ahli politik untuk bergiat aktif dalam memegang sesebuah pasukan.

Namun, seorang ahli politik itu perlulah mengambil tanggungjawab tersebut dengan sepenuhnya berbekalkan kepada perancangan jelas bagi memajukan pasukan diketuainya.

Itulah yang dilakukan oleh Newin apabila beliau dikatakan tidak langsung menggunakan sebarang dana politik untuk membangunkan Buriram United.