Bagi peminat bola sepak sejati, kita semua tahu sukan ini bukan sekadar apa yang berlaku selama 90 minit di atas padang. Kadang-kadang, ‘drama’ di belakang tabir jauh lebih tegang, mendebarkan, dan boleh bikin pecah kepala.

Terbaru, arena bola sepak antarabangsa dikejutkan dengan satu pendedahan ringkas tapi cukup ‘berbisa’ yang melibatkan negara jiran kita, Indonesia.

Semuanya bermula apabila wartawan penyiasatan sukan antarabangsa yang terkenal, Romain Molina, memuat naik satu ciapan ringkas di platform X (Twitter): “Next case : Indonesia”.

Walaupun hanya empat perkataan, ia sudah cukup untuk membuatkan peminat skuad Sang Garuda tak senang duduk, dengan ramai yang membanjiri ruangan komen bagi mendapatkan kesahihan tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Kalau anda pengikut setia perkembangan bola sepak global, nama Molina ini bukan calang-calang. Beliau memang konsisten dan berani membongkarkan sisi gelap dunia bola sepak yang didalangi oleh ‘orang atasan’.

Sebelum ini, beliau baru sahaja membuat pendedahan berani mati mengenai jenayah, rasuah, dan penyelewengan yang melibatkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).

Apa yang lebih mengecewakan, Molina secara terbuka mendakwa FIFA kerap menggunakan pembohongan dan memanipulasi maklumat dalam komunikasi rasmi mereka

Usaha berani Molina ini turut mendapat sokongan pemain bola sepak, Roger Bonet atau lebih dikenali sebagai “Ruxi”.

Menurut Ruxi, sukan bola sepak kini semakin rosak akibat campur tangan “orang pakai sut” (golongan korporat dan pentadbir) yang sebenarnya tiada kaitan jiwa dan rasa cinta terhadap sukan ini. Memang ada betulnya apa yang dikatakan itu!

Isu ini pastinya turut menarik perhatian peminat bola sepak di Malaysia.

Kita semua tahu, integriti bola sepak serantau baru-baru ini menjadi perbualan hangat apabila timbul isu membabitkan dokumen pendaftaran pemain warisan di peringkat tempatan.

Jadi, apabila timbul pula dakwaan skandal yang didakwa bakal mengaitkan Indonesia dan FIFA, ramai yang mula mempersoalkan sejauh mana ketelusan pentadbiran bola sepak di rantau Asia Tenggara dan juga pada peringkat global.

Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak FIFA mahupun Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengenai pendedahan ini.

Sama ada ia sekadar khabar angin atau permulaan kepada satu lagi episod gelap dalam sejarah pentadbiran bola sepak antarabangsa, kita terpaksa tunggu bukti dan siasatan lanjut daripada Molina.

Sebagai peminat, kita pastinya berharap agar sukan yang kita cintai ini tidak terus dicemari.

Biarlah bola sepak kembali kepada asas asalnya satu sukan yang menyatukan kita semua, bebas dari anasir korupsi dan ketamakan pihak-pihak tertentu. Kita tunggu dan lihat apa episod seterusnya.