Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan Brazil, Neymar mendapat pampasan tinggi selepas kontrak beliau bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal ditamatkan baru-baru ini.

Tempoh Neymar di Arab Saudi telah berakhir, menandakan satu babak yang penuh dengan pergelutan. Perjalanan beliau dibelenggu oleh kecederaan serius yang mengetepikan dia selama setahun.

Baca Juga:

Kecederaan Yang Mengubah Nasib Neymar

Masalah yang dihadapu pemain itu bermula dengan kecederaan ligamen lutut yang serius pada 2022 yang menyebabkan dia tidak bermain selama berbulan-bulan.

Selepas pulih, pemain itu kembali beraksi pada 21 Oktober 2023, tetapi kemunculan semulanya tidak lama. Hanya beberapa hari kemudian, Neymar mengalami kecederaan otot, yang seterusnya mengecewakan pengurusan Al-Hilal.

Sejak kebelakangan ini, kedua-dua pihak berbincang untuk menamatkan kontrak lebih awal namun baki kontrak yang bernilai $90 Juta menjadi penghalang.

Neymar Dan Al-Hilal Capai Kata Sepakat

Akhirnya, Al-Hilal bersetuju dengan syarat yang diletakkan pemain itu, memahami bahawa pemain itu memainkan peranan penting sebagai salah seorang duta untuk Piala Dunia FIFA 2034 di Arab Saudi.

Untuk mengelak meninggalkan kesan buruk, kelab bersetuju untuk membayarnya, menurut laporan AS, antara $30 juta hingga $40 juta sebagai sebahagian daripada penamatan kontraknya.

Kembali Ke Santos

Seperti yang dilaporkan oleh Fabrizio Romano, pemain berusia 33 tahun itu akan kembali ke pangkuan kelab yang membesarkan namanya iaitu Santos.

Santos berbesar hati untuk menerima semula bekas wonderkid mereka sebagai salah satu usaha untuk membantu pemain itu kembali menampilkan prestasi cemerlang dan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan Brazil pada temasya Piala Dunia yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Saya sangat gembira kerana dapat pulang ke rumah. Dapat beraksi di negara kelahiran saya.

“Saya merasa gembira kerana dapat beraksi untuk kelab ini. Ia adalah masa yang singkat, perkara tidak seperti yang saya harapkan apabila saya tiba di sini. Saya tidak dapat membantu anda di atas padang seperti yang saya mahukan,” kata pemain itu.

Neymar menjadi pemain termahal dalam sejarah bola sepak apabila dia berpindah dari Barcelona ke Paris Saint-Germain dengan harga 222 juta euro ($262 juta) pada 2017.