Kerajaan memutuskan untuk menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini membenarkan orang bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” dan tiga istilah lain untuk tujuan pendidikan. Tiga perkataan tersebut yang dimaksudkan ialah kaabah, solat, dan baitullah.

Notis penamatan itu difailkan pada 18 April oleh peguam kanan persekutuan yang mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan. Tindakan ini disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, lapor New Straits Times.

Baca Juga:

Melalui laporan Berita Harian, difahamkan bahawa Pertubuhan -Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang mewakili lebih 70 gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam membantah tindakan kerajaan dalam isu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam.

PEMBELA berkata kerajaan perlu mengarahkan Peguam Negara untuk menarik balik pembatalan rayuan kes itu kerana tindakan kerajaan adalah bersifat unilateral tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang taruh utama berhubung isu Islam iaitu Majlis Raja-Raja, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan pihak berkepentingan disifatkan melampau.

Katanya, tindakan itu juga tidak menghormati institusi lebih tinggi dari cabang eksekutif negara dan boleh mencetuskan keadaan tidak baik dalam negara.

Untuk rekod, sebelum ini Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri sejak 35 tahun lalu yang melarang orang bukan Islam daripada menggunakan empat perkataan itu sebagai “haram” dan “tidak rasional.” Beliau berhujah arahan kerajaan itu melepasi skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

Menurut Nor Bee, PPPA tidak boleh berfungsi sebagai undang-undang am untuk mengawal hal-hal ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral.

Dia menegaskan bahawa hak perlembagaan untuk menggunakan dan mengimport mana-mana penerbitan untuk pendidikan agamanya dilindungi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, membolehkannya mengamalkan kepercayaannya tanpa diskriminasi.

Namun begitu, Nor Bee menyatakan bahawa perkataan “Allah” hanya boleh digunakan oleh gereja jika mana-mana penerbitan ditujukan secara eksklusif untuk orang Kristian. Beliau seterusnya menyatakan bahawa penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan perkataan “Allah” di gereja mereka selama kira-kira 400 tahun.

Ireland, seorang kerani Melanau dari Sarawak, memulakan semakan kehakiman pada Ogos 2008 terhadap menteri dalam negeri dan kerajaan berikutan rampasan lapan cakera padat (CD) mengandungi perkataan “Allah” oleh Kementerian Dalam Negeri berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

CD tersebut bertajuk “Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”, “Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah”, dan “Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah”.

Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan pemulangan CD itu kepada Ireland. Walau bagaimanapun, ia tidak menangani permintaannya untuk pengisytiharan yang mengesahkan haknya untuk memiliki, menggunakan, dan mengimport bahan terbitan yang mengandungi perkataan “Allah.”

Pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang memerlukan Kementerian Dalam Negeri memulangkan CD yang dirampas kepada Ireland. Rayuan yang dibuat oleh kementerian dan kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi telah ditolak.