Seperti tiada kesudahan berhubung pembiakan anjing liar yang terlalu besar sehingga mengganggu orang awam. Dalam usaha mengawalnya dengan menamatkan riwayat mahluk itu, ada NGO atau individu pula yang tidak berpuas hati kerana dianggap kejam.

Memetik Harian Metro, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar, berpendapat bahawa kumpulan tersebut tidak seharusnya mengadakan bantahan.

anjing
Sumber Gambar: FB

Beliau mencadangkan agar mereka membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui cara pengambilan dan pemeliharaan haiwan terbiar.

“Kita sudah tegaskan bahawa pelupusan anjing ini akan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Jika mengikut prosedur operasi standard (SOP), anjing-anjing ini akan disimpan selama beberapa hari selepas ditangkap.

“Dalam tempoh itu, NGO atau individu yang mahu membantu boleh mengambil dan memelihara anjing ini di rumah atau tempat masing-masing.

“Jadi, tidak timbul isu bahawa anjing ini akan ditembak atau dilupuskan begitu saja kerana ada SOP yang perlu dipatuhi,” katanya ditemui selepas Majlis Anugerah Kebitaraan Akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Klana Resort di sini, semalam.

Aminuddin menegaskan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan dasar tersebut, yang telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Beliau menjelaskan bahawa langkah ini diambil dengan mempertimbangkan faktor keselamatan awam, berikutan banyaknya aduan yang diterima berkaitan isu anjing liar.

“Dalam perkara ini, kerajaan negeri perlu bersikap adil dalam menyelesaikan aduan, terutama apabila berlaku kes serangan oleh anjing liar sehingga menyebabkan kecederaan.

“Ketika kejadian berlaku, tiada NGO atau pencinta haiwan berkenaan yang tampil memberikan bantuan,” katanya.