Membuat pembelian barangan mewah seperti sebuah laptop sememangya memerlukan pertimbangan rasional kerana dianggap sebagai pelaburan jangka masa panjang.
Seorang pelajar universiti tempatan berkongsi satu kisah menarik apabila menemui insan yang baik hati sewaktu pencarian laptop impiannya di platform urus jual beli.
Bermula dengan satu sapaan menunjukkan minat yang mendalam terhadap satu penyenaraian MacBook Pro yang dijual dengan harga yang ‘terlajak’ murah oleh seorang individu bernama Danial.
Sepanjang berinteraksi, pihak penjual langsung memberi respon yang baik dalam menjawab sebarang persoalan yang dilontarkan oleh pelajar tersebut.

Walaupun dimaklumkan MacBook itu telah pun terjual, Encik Danial masih memberi saranan agar pelajar berkenaan dapat membuat pilihan yang tepat dalam memastikan pembeliannya agar berbaloi untuk kegunaan intensif dalam jangka panjang.
Seusai Encik Danial mengetahui pemuda tersebut adalah pelajar, dia langsung meminta QR untuk memberi sagu hati sebagai sokongan perjalanan pengajian di universiti.

Menerusi tangkap layar berkenaan, sejumlah RM150 telah disedekahkan kepada kepada pelajar itu.
Kalau anda pernah menuntut di institusi tinggi, wang sejumlah RM150 boleh dianggap besar nikmatnya dan sangat berguna untuk perbelanjaan seharian.
“Terima kasih banyak-banyak Encik Danial. Saya kurang faham kenapa, tapi saya percaya hari ini adalah hari saya untuk menerima kebaikan dan kebaikan ini akan saya panjangkan kepada orang lain apabila ada peluang nanti,” sambil diiringi doa buat Encik Danial di respon selepasnya.
Tambahnya di hantaran asal, dia seperti terkesima apabila mengetahui realiti masyarakat rupanya sangat mengambil berat dan memandang besar terhadap seseorang yang sedang menuntut ilmu.
Kisah ini mengingatkan kita bahawa dalam kesibukan mengejar urusan duniawi dan perniagaan, ruang untuk berbuat ihsan sentiasa terbuka luas.
Tabiat suka memberi dan memudahkan urusan orang lain, terutamanya para pelajar, adalah pelaburan akhirat yang sebenar. Semoga lebih banyak “Encik Danial” muncul dalam masyarakat kita selepas ini untuk terus menghidupkan budaya bantu-membantu tanpa mengira latar belakang.