Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan pihaknya berjaya merampas aset bernilai lebih RM31.4 bilion dalam tempoh lima tahun, dengan hampir RM28 bilion daripadanya dilucut hak.
Menurut beliau, rampasan itu membabitkan kes sindiket penyeludupan, penyelewengan dana dan pemilikan aset mewah hasil aktiviti jenayah, termasuk hartanah, wang tunai, kenderaan mewah, jam tangan berjenama dan beg eksklusif, petik Harian Metro.
Baca Juga:
- Buat Tuntutan Palsu Bina Lebuh Raya, SPRM Sita Pelbagai Aset Mewah Tan Sri Bernilai RM32 Juta

- ‘Datuk’ Ditahan SPRM, Terlibat Rasuah Dan Tuntutan Palsu RM2.6 Juta

- ‘Saya Berpuas Hati’ – Ketua SPRM Dedah Nilai Harta Dua Anak Tun Mahathir, Ini Jumlahnya

“Ini termasuk operasi besar seperti Op Metal yang menyaksikan penyitaan aset dianggarkan lebih RM183 juta susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi,” katanya tadi.
Nilai rampasan harta rasuah turut termasuklah daripada aset hartanah bernilai RM620 juta dalam projek rangkaian fiber, selain aset mewah bernilai RM32 juta dari kediaman seorang ‘Tan Sri’ membabitkan 217 unit jam tangan mewah dan 27 unit tas tangan berjenama.
“Tidak ketinggalan, dalam kes penyelewengan dana bina lebuh raya, SPRM menyita lebih RM36 juta aset termasuk wang tunai, kereta mewah dan akaun bank,” katanya.
Sita dan lucut hak aset sangat penting – SPRM
Beliau menegaskan penyitaan dan pelucuthakan aset ini adalah langkah kritikal dalam memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil daripada aktiviti haram mereka.
Sekaligus menghantar mesej jelas bahawa jenayah tidak akan pernah menguntungkan.
SPRM kini menguruskan 41 hartanah yang masih menunggu pelupusan dan cabaran utama ialah ketiadaan mekanisme seragam serta peruntukan khusus untuk kos penyelenggaraan dan guaman.