ASUS baru-baru ini telah melancarkan model komputer riba terbaru mereka iaitu ExpertBook B5 Series secara rasmi buat pasaran Malaysia.

Menariknya mengenai komputer riba ini, ASUS turut memaklumkan model terbaru mereka ini merupakan komputer riba dengan paparan OLED ternipis di dunia bagi kategori saiz skrin 16-inci.

Baca Juga:

Sebanyak dua model dilancarkan pada kali ini terdiri daripada ASUS Expertbook B5 OLED dan juga ASUS Expertbook B5 Flip OLED. Ayuh kita ketahui lebih lanjut keunikan dua model yang dilancarkan ASUS pada kali ini.

Saiz dan material

Apa yang membuatkan siri ASUS Expertbook B5 tampil unik berbanding model-model lain adalah model ini mampu menawarkan spesifikasi yang hebat di samping menawarkan saiz ringan dan kompak buat pada pengguna.

Malah, siri ini turut dinobatkan sebagai komputer riba oled ternipis bagi kategori saiz skrin 16-inci. Soal ketahanan, para pengguna tidak lagi perlu risau kerana model ini menggunakan material aluminium dan magnesium yang sememangnya tahan lasak dan kukuh.

Paparan

Sering kali apabila sesebuah model hadir dengan saiz yang nipis atau kompak pastinya bahagian spesifikasi antara yang dikorbankan. Walau bagaimanapun perkara ini dilihat tidak berlaku pada siri ASUS Expertbook B5.

Model ASUS ExpertBook B5 OLED hadir dengan skrin 16-inci beserta paparan OLED. Skrin bernisbah 16:10 antara yang ditawarkan dalam memastikan para pengguna selesa untuk menggunakannya bagi menjalankan tugas.

Bagi model ASUS Expertbook B5 Flip OLED pula, model ini turut ditawarkan dengan paparan OLED serta pelarasan 360 darjah yang membolehkan pengguna menggunakan model ini dengan lebih fleksibel bersama stylus.

Spesifikasi

Mengulas mengenai spesifikasi, ASUS Expertbook B5 OLED ini dikuasakan oleh Intel® Core™ i7-1360P beserta grafik Intel® Iris® Xe Graphics.

RAM bagi kedua-dua model ini hadir dengan saiz 8GB onboard dan juga 32GB SO-DIMM.. Model ini turut ditawarkan dengan saiz storan yang boleh dikatakan agak besar iaitu 2TB PCIe Gen 4 SSD.

Meskipun nipis, para pengguna tidak perlu risau soal hayat bateri kerana model ini mampu digunakan sehingga 14 jam untuk satu pengecasan penuh.

Para pengguna juga pastinya tidak perlu risau untuk menjalankan meeting secara dalam talian dengan adanya teknologi ASUS AI noise-cancelling beserta sokongan Dolby. Sambungan internet pantas turut boleh dinikmati dengan sokongan WiFi 6E.

Harga

Mengulas mengenai harga, ASUS ExpertBook B5 OLED sedia ditawarkan pada harga RM8,099 manakala model ASUS Expertbook B5 Flip OLED boleh didapatkan pada harga RM7,699.

Menariknya, ASUS sedia menawarkan waranti global sehingga 3 tahun merangkumi waranti bateri selama 3 tahun dan setahun perfect warranty.

Sememangnya sebuah harga yang premium bersuaian dengan ciri yang ditawarkan. Sekiranya anda merupakan seorang usahawan atau kerap bekerja secara on the go serta memerlukan sebuah laptop yang ringan dan nipis, mungkin ini model yang boleh anda pertimbangkan.