Selepas hampir 20 tahun model Nissan GT-R R35 berada di pasaran, akhirnya wakil Nissan membuka mulut untuk bercerita mengenai model terbaharu R36.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Perancangan bagi Nissan Amerika Utara, Ponz Pandikuthira, telah mendedahkan secara eksklusif kepada The Drive mengenai model R36 yang akan datang — bakal menggunakan enjin hibrid.
Baca Juga:
- ‘Demo Kenal Bare’ – GT-R R34 ‘Total Lost’ Dibida Lebih RM170,000
- GT-R Terbabas, Rempuh ‘King’
- Pengorbanan Demi Peminat, Pemilik ‘Payung’ Api Sampai GT-R Berasap
Tatkala pelbagai jenama kereta mula fokus pada penggunaan enjin EV, namun Nissan memilih sebaliknya.
Menurut Ponz Pandikuthira, Nissan ada membina beberapa prototaip elektrik untuk model moden R36, namun hasilnya tidak memuaskan.
‘GT-R EV’ cuma tahan sekejap, ambil masa lama untuk caj semula

“Pada asalnya, ia (prototaip R36) hanya mampu melengkapkan satu pusingan di Nürburgring, dan selepas itu anda perlu mengecas semula kereta tersebut. Dan proses pengecasan itu pula mengambil masa yang lama, jadi ia langsung tidak terasa ‘asli’,” katanya.
Menurutnya lagi, dengan teknologi yang ada sekarang, malah dengan bateri solid-state sekalipun – masih belum mampu memberikan prestasi seperti yang dijangkakan daripada sebuah kereta sport buatan Jepun itu.
“Anda cuma bina sesuatu sekadar untuk ‘cukup syarat’ yang anda ada sebuah GT-R, tapi hakikatnya ia bukan GT-R sebenar,” luah Ponz Pandikuthira.

Sehubungan itu, beliau nyatakan bahawa bateri hibrid untuk kereta seperti itu yang menggunakan teknologi solid-state hanya perlu berkapasiti ‘mungkin sekitar 30 kWh’ sahaja.
Bateri itu dipadankan dengan enjin V6 twin-turbo — setiap kereta produksi yang pernah memakai lencana GT-R dalam sejarah setakat ini telah dilengkapi dengan enjin enam silinder di bawah bonet.
Bila GT-R R36 bakal ‘dilahirkan’?

Apabila ditanyakan bila model moden itu akan keluar, Ponz Pandikuthira memberitahu The Drive bahawa kereta tersebut bakal berada di pasaran dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari sekarang.
Nampaknya para peminat model ‘Godzilla’ perlu menunggu lagi untuk beberapa tahun lagi sebelum dapat tengok GT-R yang lebih berkuasa — dengan enjin hibrid, mesra alam sekitar.