Filem animasi bajet rendah dari China, Niu Lai, tiba tiba menjadi fenomena selepas penonton di media sosial menjadikannya bahan bualan kerana jalan cerita yang mengelirukan dan kualiti grafik yang dianggap teruk.

Filem ini diarahkan oleh Xin Yumeng, manakala ibunya menyanyikan lagu penutup filem tersebut.

Studio yang menerbitkannya pula pada asalnya merupakan sebuah firma reka bentuk dalaman. Bajet produksinya sekitar 20,000 hingga 30,000 yuan atau RM12,100 hingga RM18,100.

Manakala perbelanjaan pemasaran pula boleh dikatakan sifar. Tak ada promosi. Yang menjadi promosi adalah penonton terawal yang menonton filem ini dan bercerita sendiri tentang betapa teruknya filem ini di media sosial.

Daripada RM4,500 dalam 10 hari, kini sudah RM6.7 juta

Pada 10 hari pertama selepas ditayangkan, filem ini hanya mengutip 7,705 yuan (RM4,500).

Namun selepas beberapa klip dan ulasan mengenainya tular, kutipannya melonjak sehingga melepasi 11.4 juta yuan (RM6.7 juta).

Lebih menarik, Niu Lai kini bersaing dari segi kutipan dengan filem blockbuster Hollywood seperti The Odyssey dan Spider Man: Brand New Day.

Ironinya, kebanyakan perhatian terhadap filem ini bermula daripada kecaman. Beberapa netizen dan blogger menghentam teruk filem yang dianggap sangat teruk dan memalukan.

Budaya FOMO Antara Punca Filem Animasi Niu Lai Yang Dikecam Teruk Raih RM6.7 Juta Daripada Hanya RM4,500 Dalam 10 Hari

Trend FOMO

Ada penonton yang menyifatkan filem tersebut begitu teruk sehingga mereka mahu menontonnya sendiri untuk memahami mengapa ia menjadi bahan ketawa ramai.

Satu hantaran popular di media sosial menyindir, jika menonton filem itu mungkin menyesal selama 80 minit, tetapi jika tidak menontonnya, mungkin menyesal seumur hidup. Kerana melepaskan peluang melihat sendiri betapa teruknya filem ini.

Trend ini adalah FOMO atau fear of missing out. Di mana ada golongan mereka tidak mahu terlepas daripada sesuatu trend baharu di media sosial.

Ini juga bukti bahawa bad marketing is good marketing too.

Hargai karya tangan tanpa AI

Ada juga yang memuji gaya animasi Niu Lai yang dianggap seperti dibuat secara tangan, sekali gus menjadikannya kononnya bukti bahawa filem itu tidak bergantung kepada kandungan dijana AI.

Fenomena itu akhirnya mendorong lebih banyak pawagam menambah tayangan selepas permintaan meningkat secara mendadak.

Amaran kepada pawagam

Namun kejayaan luar biasa itu turut mengundang kritikan.

Beijing News memberi amaran bahawa pawagam boleh kehilangan kepercayaan penonton jika terus menambah tayangan filem yang dianggap tidak mencapai standard.

Daripada filem yang hampir tidak dikenali dan menjadi bahan kecaman, Niu Lai kini menjadi antara kejutan terbesar musim filem musim panas China.

Kadang kadang, filem paling teruk pun boleh menjadi hit apabila semua orang mahu melihat sendiri betapa teruknya filem tersebut.