Pada awal Mac lalu, penyanyi irama tradisional terkenal, Noraniza Idris, 57, membuat laporan polis selepas mendakwa bisnes muruku miliknya dianiaya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian hampir RM630,000.

Bagaimanapun episod hitam itu ‘terubat’ apabila menerima pelawaan untuk menjual produknya di pasar raya Mydin, petik Berita Harian.

Baca Juga:

“Saya bersyukur di atas peluang ini. Selepas hampir jatuh terduduk dan tak tahu masa depan perniagaan saya dengan hampir nak tutup kilang, tiba-tiba produk saya ditawarkan untuk dijual di Mydin. Ini satu peluang dan rezeki yang cukup luar biasa.

“Saya anggap ini adalah peluang untuk saya memulakan langkah baharu dalam perniagaan. Insya-Allah saya akan cuba jalankan amanah ini dengan sebaik mungkin.

“Ketika pihak Mydin menawarkan dan bersetuju untuk produk saya berada di rangkaian mereka, saya sekeluarga sujud syukur serta menangis atas rezeki yang Allah kurniakan ini,” katanya.

Beliau berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama produk Che Ani Premium bersama Mydin di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Menurutnya, kini bekiau perlu menambah seramai 32 pekerja untuk membantu menyiapkan tempahan. Sementara kilang juga perlu beroperasi 24 jam.

“Apabila mereka bersetuju dengan kerjasama ini, saya bersyukur namun terkejut dengan tempahan yang mereka mahukan.

“Ini kerana, ketika itu staf saya hanya tinggal empat orang saja. Jadi saya perlu menambah lagi 32 orang.

“Operasi kilang juga terpaksa saya ubah kepada 24 jam tanpa henti bagi memudahkan proses permintaan yang perlu dibuat,” katanya.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin optimis dan sedia menyokong produk tempatan yang berminat untuk menjual produk mereka di rangkaian pasar raya itu.

Sumber