PRO-NET (Proton New Energy Technology Sdn Bhd) telah menyerahkan tiga unit Proton e.MAS 7 untuk kegunaan pasukan polis bantuan Northport (Malaysia) Bhd.

Pihak Northport menyatakan penggunaan Proton e.MAS 7 ini mencerminkan usaha berterusan mereka untuk menjadikan operasinya lebih mesra alam.

Oleh kerana ia model SUV elektrik sepenuhnya, kereta itu memberikan pengalaman rondaan lebih selesa, malah membantu mengurangkan keletihan anggota bertugas, terutamanya dalam syif yang panjang.

Pada masa sama ia juga dapat mengurangkan pencemaran bunyi di sekitar kawasan pelabuhan.

Kos penyelenggaraan juga dapat dikurangkan kerana bilangan komponen bergerak yang lebih sedikit berbanding kenderaan petrol biasa.

Visi Proton e.MAS 7 sejajar matlamat Northport
Northport Jadi Syarikat Pertama Guna Proton e.MAS 7 Sebagai Kereta Polis Bantuan
Sumber Gambar: Proton

“Di Northport, kami komited untuk mengamalkan pendekatan yang lestari dan menyokong penyelesaian tenaga bersih. Proton e.MAS 7 sejajar dengan matlamat alam sekitar kami serta menyokong inisiatif Pelabuhan Hijau dan komitmen ESG kami.

“Sebagai sebuah pelabuhan yang berbangga dengan identiti Malaysia, pemilihan jenama PROTON turut mencerminkan sokongan kami terhadap inovasi tempatan dan pembangunan industri negara.

“Proton e.MAS 7 menawarkan keseimbangan yang tepat antara prestasi, keselamatan dan teknologi — menjadikannya pilihan yang sesuai untuk memenuhi keperluan operasi pelabuhan yang mencabar,” kata Fakhrul Azhar Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif Northport.

Northport Jadi Syarikat Pertama Guna Proton e.MAS 7 Sebagai Kereta Polis Bantuan
Sumber Gambar: Proton

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang pula berasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan Northport.

“Proton e.MAS 7 direka untuk kegunaan harian yang praktikal, dan penggunaannya dalam operasi Northport membuktikan bahawa kenderaan elektrik ini bukan sekadar visi masa depan, tetapi satu penyelesaian yang boleh diguna pakai hari ini. Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan mobiliti lestari dengan lebih bermakna,” katanya.

Northport Jadi Syarikat Pertama Guna Proton e.MAS 7 Sebagai Kereta Polis Bantuan
Sumber Gambar: Proton