Sehingga kini, negara haram Israel giat mengebom bangunan dan orang awam di bumi Gaza tanpa sebarang belas kasihan. Namun begitu, negara Malaysia dilihat tetap memberi sokongan dan bersolidariti demi saudara di sana tanpa rasa jemu.
Tular di media sosial satu nota ditulis seorang penduduk di Wilayah Gaza, Palestin yang didakwa meninggal dunia akibat serangan Israel.
Nota yang juga wasiat terakhir Muhammad Abdul Qadir Al-Husseini itu ditulis pada 25 Mac lalu sebelum dikongsi pengguna media sosial X @faisalazizfa sejak semalam.

“Wasiatku kepada mu, jika aku mati dan syahid dalam perang ini, aku tidak akan memaafkan pemimpin Arab yang mengecewakan harapan kita.
“Kami sudah menjalani hari-hari yang sukar tanpa makanan dan dalam kepungan. Rambutku sudah berubah menjadi kelabu walaupun umurku masih muda. Semoga Tuhan tidak akan memaafkan kamu dan tidak akan memberkati kamu.
“Demi Allah, aku akan mengadu kepada Maha Pencipta tujuh lapisan syurga perbuatan kau. Maafkan aku, ibu. Aku amat menyayangimu. Jangan tangisi pemergianku,” tulisnya.
Di dalam nota itu juga, Muhammad Abdul Qadir menyampaikan mesej kepada masyarakat Mesir, Yaman, Jordan, Lubnan, Algeria, Sudan, Tunisia dan Malaysia agar terus melindungi bumi Gaza.
“Mesejku kepada kepada masyarakat Mesir, Yaman, Jordan, Lubnan, Algeria, Sudan, Tunisia dan Malaysia, aku meletakkan kepercayaan kepada anda semua untuk tidak mengabaikan Gaza.
“Aku merayu dan menggesa anda semua untuk melindungi Gaza. Aku amat menyayangi kalian semua. Mohon jangan kecewakan harapan kami.
“Sesiapa yang menjumpai mesej ini, aku mohon sebarkan,” katanya.
Perkongsian surat wasiat yang sedang tular di media sosial ini lantas dihujani komen dari rakyat Malaysia yang mana rata-ratanya tidak dapat menahan sebak kerana saudara di sana meminta pertolongan untuk melindungi negaranya.


Ramai berkongsi hanya mampu memanjatkan doa dan menyalurkan bantuan sedaya mungkin dalam meringankan beban rakyat di Palestin.