Pengguna telefon pintar di Malaysia mula menerima notifikasi Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) pada pagi Ahad, 29 November.

Notifikasi tersebut diterima secara berperingkat dengan waktu penerimaan berbeza-beza, sekali gus mencetuskan perkongsian orang ramai di media sosial.

Ada pengguna melaporkan menerima amaran MySiren ujian pada jam 10.10 pagi, manakala sebahagian lagi menerimanya pada jam 10.12 dan 10.15 pagi.

Malah, terdapat pengguna yang mendakwa dua atau lebih telefon pintar milik mereka menerima notifikasi berkenaan pada waktu berlainan.

Notifikasi itu turut disertakan bunyi amaran seakan-akan siren bersama paparan mesej pada skrin telefon. Walaupun bunyinya tidak terlalu kuat, ia cukup jelas untuk menarik perhatian pengguna.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara dijadualkan berlangsung pada jam 10.10 pagi, 29 November.

Sistem yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) bagi menyalurkan amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi ditetapkan.

Menariknya, sistem ini tidak memerlukan pengguna memuat turun sebarang aplikasi atau membuat pendaftaran untuk menerima amaran.

MySiren mula dibangunkan pada 2025 susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024. Projek berkenaan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM200 juta.

Bagi memastikan telefon masing-masing dapat menerima amaran, orang ramai sebelum ini disarankan mengemas kini sistem operasi peranti kepada versi terkini atau sekurang-kurangnya iOS 27.2 bagi iPhone, Android 12 bagi telefon Android dan EMUI 16 bagi peranti Huawei.

Pelaksanaan MySiren dijangka menjadi salah satu saluran penting dalam penyampaian maklumat kecemasan kepada rakyat, khususnya ketika berdepan situasi yang memerlukan amaran segera.

Apa pandangan anda tentang MySiren yang anda terima tadi?