Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dikatakan bakal menjadi ketua jurulatih kelab Liga 1 Indonesia selepas mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Sabah FC.

Beberapa portal berita dari Indonesia melaporkan dua kelab Liga 1 iaitu Bali United dan Persis Solo telah menyatakan minat bagi mendapatkan khidmat Ong Kim Swee yang memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa.

Baca Juga:

Namun hanya Persis Solo sahaja yang berpotensi dibimbing oleh jurulatih baharu dan mereka terdesak untuk memperbaiki kedudukan liga.

Walaupun berita mengenai penghijrahan Ong Kim Swee ke Persis Solo sudah menjadi tular di laman media sosial namun setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada pihak kelab tersebut.

Aksi Piala Malaysia antara Sabah menentang PT Athletic hari ini menjadi tugasan terakhir Ong Kim Swee sebelum destinasi baharu beliau diumumkan.

Jika khabar angin ini menjadi kenyataan, ia adalah kelab luar negara pertama dibimbing oleh jurulatih tersebut.

“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024. Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024.

“36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini.

“Walaupun saya tidak memimpin Sabah FC lagi, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media.