Bekas pengendali skuad B-23 Tahun negara, Juan Torres Garrido dilantik sebagai pembantu jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee di kelab Liga 1 Indonesia iaitu Persis Solo.
Kehadiran Juan diumumkan oleh Persis menerusi laman media sosial rasmi pasukan yang mana beliau akan bersama pasukan sehingga musim 2024/2025 berakhir.
Baca Juga:
- Bergelut Di Liga 1, Ong Kim Swee Mahu Persis Rekrut Pemain Baharu
- Pau Marti Luah Rasa Kecewa Malaysia Dibolosi Dua Gol
- Persis Solo Lantik Datuk Ong Kim Swee Sebagai Pengendali Baru
“Saya telah mengikuti banyak liga di Asia Tenggara dan Liga 1 adalah salah satunya. Saya fikir Liga 1 sedang menunjukkan perkembangan yang baik. Pasukan kebangsaan juga berkembang dengan cepat. Saya mahu mengembangkan karier saya di sini.
“Saya siap menyumbang apa sahaja yang diperlukan oleh ketua jurulatih dan saya sangat gembira kerana bekerjasama dengan beliau (Ong Kim Swee). Saya akan menyalurkan pengalaman saya kepada kelab.
“Kepada penyokong, teruslah memberikan sokongan kerana tidak lama lagi kita akan berada di posisi yang sepatutnya,” kata Juan Torres.
Sebelum ini, Torres menjadi pembantu kepada Pau Marti Vicente dalam skuad senior Harimau Malaya namun jodoh beliau bersama Malaysia tidak kekal lama.
Torres dan Pau Marti terpaksa meninggalkan pasukan selepas saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 ekoran revolusi yang dijalankan terhadap pasukan kebangsaan.
Persis Solo masih belum mencatat sebarang kemenangan sejak dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee dimana mereka ketika ini berada di tangga ke-16 dalam carta liga.
Kehadiran Torres dan beberapa pemain yang dijangka dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua diharap boleh meningkatkan prestasi pasukan itu sekaligus memperbaiki kedudukan dalam carta liga.