Pengendali dari Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mahu Persis Solo menandatangani pemain baharu pada jendela perpindahan kedua selepas pasukannya bergelut dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Baru-baru ini, Kim Swee menegaskan dua pemain import dalam pasukan iaitu Karim Rossi dan Gonzalo Andrada berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan corak permainannya dan berharap dapat membawa masuk pemain baharu untuk meningkatkan prestasi pasukan.

Baca Juga:

“Dua pemain ini memerlukan waktu untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan saya. Saya melihat jika menurunkan pemain tempatan, mereka lebih memahami apa yang saya perlukan.

“Untuk membawa masuk pemain baharu, kita perlu melihat kepada situasi kewangan pasukan. Adakah kami mampu untuk menandatangani pemain baharu atau sebaliknya. Itu terpulang kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan.

“Namun saya percaya akan ada beberapa pemain yang kami akan dapatkan untuk menambah kualiti sedia ada,” katanya.

Setakat ini, Persis masih belum mencatat sebarang kemenangan di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee dimana mereka mencatat tiga keputusan seri dan tiga kekalahan.

Dalam carta liga, Persis menduduki tangga ke-16 sekaligus berdepan dengan risiko untuk tersingkir ke divisyen dua musim hadapan.

Untuk makluman, anak kepada bekas presiden Indonesia, Joko Widodo iaitu Kaesang Pangarep merupakan pemilik Persis dimana beliau menjadi pemegang saham terbesar kelab itu sambil dibantu oleh ahli perniagaan ternama iaitu Kevin Nugroho.

Ketua Umum Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir juga pernah berada dalam pengurusan pasukan dimana beliau meletakkan anaknya, Mahendra Agakhan Thohir sebagai wakil.