Lelaki warganegara Yaman dikesan menjalankan praktik pergigian tanpa lesen di kawasan metropolitan, di mana dia membina pangkalan pelanggan yang terdiri daripada warga asing.
Difahamkan lelaki itu telah beroperasi secara haram di negara ini sejak lebih tujuh tahun lalu dan lebih mengejutkan mampu menjana pendapatan cecah empat angka sehari.
Klinik pergigian haram yang dikendalikan oleh suspek berusia 40-an tanpa sebarang kelulusan KKM akhirnya dibongkar kelmarin. Serbuan itu dijalankan oleh sepasukan pegawai penguatkuasa Program Kesihatan Pergigian KKM.
Klinik pergigian swasta milik suspek didakwa beroperasi seolah-olah sah dengan peralatan moden. Sumber berkata, perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi tampalan, cabutan, rawatan akar, $crown$, $bridge$, dan pembersihan gigi.
“Namun hasil siasatan mendedahkan individu terbabit tidak pernah berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan tidak memiliki kebenaran bekerja dalam sektor kesihatan di bawah undang-undang negara ini.
“Kami menerima maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai aktiviti warga asing membuka klinik pergigian tanpa lesen sah. Hasil semakan mendapati individu itu mula beroperasi sekitar tahun 2017,” katanya kepada Buletin TV3.
Didapati sudah beroperasi dengan jayanya apabila mampu menjana lebih puluhan ribu ringgit pada setiap bulan dengan hasil rawatan yang ditawarkan kepada pelanggan tanpa memaklumkan status sebenar operasinya yang haram.
“Dia menjalankan hampir semua prosedur pergigian sama seperti doktor gigi berlesen. Namun dari segi undang-undang, warga asing tidak dibenarkan berkhidmat dalam sektor ini kecuali sebagai pakar atau tenaga pengajar di institusi pengajian.
“Semasa siasatan dilakukan, tiada dokumen sah dapat dikemukakan lelaki itu bagi membuktikan kelayakan profesionalnya di Malaysia,” katanya.
Lelaki itu didakwa merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).