Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati hampir RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang dikaitkan dengan sindiket yang membolehkan penjawat awam dengan hutang lapuk atau disenarai hitam memperoleh pinjaman peribadi daripada bank tempatan.

Sumber mendedahkan bahawa pinjaman tersebut diluluskan dalam tempoh lima tahun lalu, bermula dari pandemik Covid-19 pada tahun 2020, di mana pegawai dari institusi kewangan yang terlibat dalam sindiket tersebut mendapat keuntungan daripada yuran perkhidmatan dan yuran untuk menyelesaikan hutang lapuk.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Menurut Berita Harian, jumlah keseluruhan pinjaman yang diluluskan setakat ini adalah kira-kira RM700 juta, hasil daripada pelbagai pinjaman peribadi yang diperoleh serentak daripada beberapa bank.

SPRM turut merampas 4,000 dokumen dan menahan 12 orang suspek yang dipercayai sindiket, pada Isnin lalu.

Sebelum  ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata empat lagi pegawai bank telah ditahan semalam untuk membantu siasatan di bawah Op Sky.

Sindiket tersebut aktif beroperasi dengan mengunjungi kementerian dan jabatan kerajaan di seluruh negara dengan menawarkan diri untuk menjadi perunding kewangan.

Mereka kemudian dilaporkan telah berjaya menjerat  lebih 4,000 penjawat awam. Kegiatan tersebut turut dijalankan oleh pegawai bank dari pelbagai institusi kewangan di negara ini.

Dan semalam SPRM mengesahkan bahawa kira kira 16 lagi individu daripada sektor kewangan sedang dikesan untuk siasatan.

Sebelum ini SPRM mulai menyiasat sindiket tersebut berikutan daripada beberapa transaksi yang mencurigakan melibatkan beberapa buah bank. SPRM turut menyiasat beberapa orang pegawai bank yang disyaki menerima suapan.

Pegawai bank ini dikatakan telah menerima sogokan sekitar RM5,000 untuk setiap pinjaman yang mereka luluskan, dengan rasuah tersebut berjumlah 1% daripada nilai pinjaman tersebut sebaik sahaja diluluskan.

SPRM turut membekukan 70 akaun syarikat dan individu berjumlah lebih RM16.2 juta sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap sindiket tersebut.

SPRM juga telah merampas sembilan kenderaan pelbagai jenama, lebih RM300,000 tunai, 17 jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM11.1 juta, dan lima beg tangan berjenama bernilai lebih RM430,000.

Antara kenderaan yang dirampas ialah Ferrari F8 Spider, Mercedes-Benz GLC43 dan Lexus RC300.