Seorang kakitangan sebuah bank telah ditahan selepas disyaki bertindak sebagai ‘orang dalam’ dan bersubahat dengan sindiket bagi mengeluarkan wang tunai bernilai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan tetap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima empat laporan pada awal Jun yang memaklumkan tentang pengeluaran wang yang mencurigakan.

Laporan tersebut dibuat oleh mangsa dan kakitangan bank terbabit di Petaling Jaya, Selangor, yang mendakwa berlaku pengeluaran wang secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah tanpa pengetahuan mereka.

Kesemua pemilik akaun terlibat mendakwa tidak mengetahui tentang transaksi pengeluaran tersebut dan tidak pernah ke Kota Kinabalu untuk melakukan pengeluaran.

“Susulan itu, seorang suspek berusia 38 tahun yang juga kakitangan bank terbabit ditahan di sekitar Kota Kinabalu,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Menurut Ramli, siasatan awal mendapati terdapat pembabitan ahli sindiket dari dalam bank itu sendiri.

Transaksi pengeluaran tanpa kebenaran itu hanya boleh dilakukan dengan kerjasama ‘orang dalam’.

Setakat ini, pihak polis sudah mengenal pasti beberapa lagi suspek dan sedang dalam proses memburu mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pasukan serbuan merampas tiga unit telefon bimbit bersama kad SIM, lapan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), satu komputer riba dan wang tunai berjumlah RM4,400,” tambah beliau.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan siasatan kes ini dilaksanakan sebaiknya selaras dengan peruntukan undang-undang negara.