Siasatan pihak berkuasa mendapati tiada sebarang petunjuk yang mengaitkan kakitangan atau pihak dalaman Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kes penyeludupan 26 kilogram dadah oleh seorang juruterbang warga tempatan ke Jakarta, Indonesia pada 29 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa semakan keselamatan di KLIA mendapati kesemua prosedur dan langkah kawalan telah dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurut beliau, siasatan awal merumuskan aktiviti terbabit didalangi sepenuhnya oleh rangkaian sindiket dari luar tanpa penglibatan petugas lapangan terbang, petik Malaysia Gazette.

“Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau perkembangan siasatan sekiranya terdapat bukti baharu yang menunjukkan mana-mana individu bersubahat, membantu atau terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah.

“PDRM turut menjalankan siasatan terhadap aspek keselamatan penerbangan termasuk Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) serta membuat semakan terhadap rakaman CCTV dan imej pengimbas bagasi sebagai sebahagian daripada proses pengumpulan dan pengesahan bukti,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat di sini.

Beliau menyatakan demikian menerusi jawapan bertulis di portal Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung status siasatan kes berkenaan dan kemungkinan wujudnya pembabitan pihak dalaman di KLIA.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata juruterbang terbabit kini berada di bawah tahanan pihak berkuasa Indonesia bagi melengkapkan proses siasatan sebelum didakwa mengikut undang-undang negara berkenaan berkaitan penyeludupan dan pengedaran dadah.

Susulan itu, PDRM telah mengadakan tindakan susulan dengan memperoleh maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia pada 11 hingga 15 Ogos lalu.

Hasil perkongsian maklumat risikan dan sesi soal siasat tersebut membolehkan PDRM mengenal pasti rangkaian sindiket terlibat, merangkumi peranan pihak pembekal, penghantar serta pengurus kewangan.

“Hasil risikan dan siasatan lanjut, pada 20 Ogos hingga 6 September 2026, PDRM telah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan menahan seramai tujuh warganegara Malaysia yang dipercayai mempunyai peranan dalam rangkaian tersebut.

“Kesemua suspek sedang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Siasatan masih diteruskan bagi menentukan peranan setiap individu serta mengenal pasti sekiranya masih terdapat mana-mana pihak lain yang terlibat,” katanya.