Pada tahun 2020, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah mendedahkan bahawa 2 projek pembinaan kompleks sukan negeri itu berjalan dengan lancar.

Pembiayaan projek itu didakwa diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBSM), di mana kompleks di daerah Jabi itu menelan belanja RM6.2 juta.

Baca Juga:

Sebelum ini, pada 2018, KBSM telah mempamerkan pelan Kompleks Sukan Jabi yang bernilai RM6.2 juta. Ia dilengkapi padang bola sepak, trek larian, gelanggang bola tampar dan banyak lagi.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, ADUN Jabi dan Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim, telah memuatnaik sebuah gambar yang mempamerkan Kompleks Sukan Jabi yang sudah siap, tetapi mengundang persoalan netizen.

Kebanyakan mereka menyatakan bahawa RM6.2 juta yang dibelanjakan kerajaan untuk membina Kompleks Sukan Jabi itu seolah-olah indah khabar dari rupa kerana ia nampak biasa dan tidak setaraf dengan harganya.

Selain itu, sebahagian daripada netizen mempersoalkan tempoh masa yang diambil iaitu lima tahun untuk menyiapkan padang bola versi minimal ini.