Di zaman ketika orang ramai sudah mula melupakan kewujudan telefon jenis berbutang, seorang pemilik kedai di Libya baru sahaja menerima penghantaran stok lama telefon Nokia yang dipesannya sejak tahun 2010 yang lalu.

Enam belas tahun yang lalu, pemilik kedai telefon di Tripoli itu telah membuat pesanan borong seperti biasa untuk telefon Nokia jenis papan kekunci (keypad) yang sangat popular pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, perang saudara yang meletus di Libya pada tahun 2011 telah melumpuhkan rangkaian bekalan, menyebabkan telefon-telefon tersebut tersadai di dalam gudang selama lebih satu dekad.

Apa yang lebih mengejutkan, penjual telefon tersebut sebenarnya juga berada di Tripoli, hanya beberapa kilometer sahaja jaraknya dari kedai pembeli tersebut.

Satu video memaparkan pemilik kedai itu membuka kotak-kotak berisi telefon Nokia lama telah tular di media sosial.

Video tersebut menunjukkan peniaga itu dan rakan-rakannya ketawa besar melihat kejadian yang sukar dipercayai itu sambil membelek barang yang baru sampai. Sambil membuka kotak, dia sempat berseloroh, “Ini telefon ke barang purba?”

Sambil dikelilingi telefon-telefon yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu, pemilik kedai tersebut dilihat ketawa melihat teknologi lama itu sambil berlakon seolah-olah sedang membuat panggilan dan menggunakan kamera pada peranti “bersejarah” tersebut.

Video itu telah mendapat pelbagai reaksi lucu di media sosial. Dalam masa yang sama, ia turut mendedahkan bagaimana kehidupan orang awam terjejas akibat peperangan.

Seorang pengguna media sosial memberi komen, “Perang adalah satu kerugian besar buat penduduk.” Seorang lagi pula berkata telefon itu “sangat berharga” dalam situasi geopolitik sekarang kerana ia tidak mempunyai alat pengesan (GPS).

Seorang pengguna X (Twitter) turut menulis, “Barang ni memang cool, saya nak satu.” Sementara itu, satu lagi komen berbunyi, “Alamak! Nampaknya penjual ni kena jual telefon ni sebagai ‘Edisi Terhad Klasik’ kepada warga emas.”