Osasuna telah mengemukakan bantahan kepada Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) pada hari Jumaat setelah mendakwa Barcelona menurunkan pemain yang tidak dibenarkan beraksi iaitu Inigo Martinez dalam perlawanan LaLiga awal pagi kelmarin.

Martinez pada mulanya dipanggil menyertai skuad kebangsaan Sepanyol tetapi diketepikan kerana dikatakan mengalami kecederaan.

Baca Juga:

Pemain pertahanan itu bagaimanapun diturunkan sepenuh masa pada perlawanan Barcelona menentang Osasuna dimana pendahulu liga tersebut menang selesa 3-0.

Keadaan tersebut dirasakan oleh pengurusan Osasuna bahawa Barcelona telah melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.

“Kelab memahami bahawa penyertaan Inigo Martinez dalam perlawanan semalam melanggar artikel 5 Lampiran I Peraturan FIFA mengenai Status dan Pemindahan Pemain,” kata Osasuna dalam satu kenyataan menurut sumber Reuters.

“(Ia) menyatakan bahawa seorang pemain yang tidak menyertai atau meninggalkan pasukan kebangsaannya atas sebab perubatan tidak boleh bermain dalam perlawanan untuk kelabnya dalam tempoh lima hari kalendar selepas tamat tempoh antarabangsa.”

“Osasuna percaya bahawa Inigo Martinez, yang ketidakhadirannya dari pasukan kebangsaan Sepanyol adalah disebabkan oleh cuti perubatan (kecederaan), tidak layak untuk bermain dalam perlawanan semalam mengikut peraturan FIFA.”

Perlawanan sepatutnya berlangsung pada 8 Mac tetapi terpaksa ditunda ekoran kematian doktor pasukan Barcelona hanya beberapa jam sebelum sepak mula aksi tersebut.

Keadaan itu memaksa aksi terpaksa diadakan kelmarin walaupun hanya beberapa hari selepas tugasan antarabangsa.

Perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan 3-0 memihak Barcelona hasil jaringan Ferran Torres, Dani Olmo dan Robert Lewandowski.

Sekiranya Barcelona didapati bersalah, The Blaugrana berkemungkinan akan menerima hukuman pemotongan mata yang nyata bakal merugikan pasukan.

Hal ini kerana jurang antara Barcelona dan Real Madrid hanyalah tiga mata.

Sumber