99 Speed Mart, rangkaian kedai runcit yang popular di Malaysia, baru sahaja mencatatkan satu lagi rekod cemerlang apabila berjaya untung jutaan ringgit.

Menurut BERNAMA, keuntungan bersih syarikat ini untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2024 melonjak kepada RM125.53 juta, berbanding RM75.48 juta pada suku kedua 2023.

Peningkatan mendadak ini menunjukkan daya saing dan kekuatan model perniagaan syarikat, yang terus memenangi hati pengguna tempatan.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, 99 Speed Mart menjelaskan bahawa pertumbuhan keuntungan ini didorong oleh peningkatan jualan, pencapaian diskaun yang lebih baik, serta kadar pendapatan operasi tambahan daripada pembekal.

Malah, hasil syarikat turut meningkat sebanyak 8.2 peratus kepada RM2.41 bilion berbanding RM2.23 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Kejayaan ini sebahagian besarnya berpunca daripada strategi  syarikat yang agresif dalam melebarkan cawangan jenama runcit ini.

Dengan tambahan sebanyak 59 cawangan baru, 99 Speed Mart kini mempunyai 2,646 cawangan di seluruh negara.

Tambahan lagi, platform e-dagang jualan pukal yang dilancarkan pada Disember 2023 telah mula menunjukkan impaknya dengan menyumbang pendapatan tambahan sekitar RM2.6 juta pada suku kedua tahun ini.

Jumlah urus niaga jualan turut melonjak sebanyak 12.9 peratus kepada 113.8 juta urus niaga, menunjukkan penerimaan positif pelanggan terhadap kemudahan yang ditawarkan oleh 99 Speed Mart.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, turut meluahkan kegembiraannya terhadap prestasi kewangan syarikat yang memberangsangkan ini.

99 Speed Mart bermula dengan sebuah kedai runcit kecil yang dikenali sebagai Pasar Raya Hiap Hoe di Tepi Sungai, Klang pada tahun 1987.

Pada tahun 1992, Pasar Mini 99 pertama dibuka di Klang Utama, dan dalam masa enam tahun, berkembang menjadi lapan cawangan di sekitar Klang.

Perubahan besar berlaku pada tahun 2000 apabila semua cawangan ini dijenamakan semula sebagai 99 Speedmart, menandakan era baru dalam perniagaan runcit tempatan.

Pusat operasi dan pengedaran pertama mereka siap dibina pada tahun 2002 di Jalan Kapar, Klang, menandakan permulaan kepada rangkaian yang kini mempunyai lebih 2000 cawangan di seluruh Malaysia.